Belum ada arahan guru balik bertugas, kata Ismail Sabri


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kementerian Pendidikan juga belum mengeluarkan sebarang arahan untuk guru kembali bertugas di sekolah atau kekal di daerah mereka bertugas, katanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2020.

SEMUA sekolah masih bercuti dan setakat ini masih belum ada arahan untuk guru sekolah kembali bertugas, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.

Kementerian Pendidikan juga belum mengeluarkan sebarang arahan untuk guru kembali bertugas di sekolah atau kekal di daerah mereka bertugas, katanya.

“Sekolah masih bercuti, oleh itu Kementerian Pendidikan masih belum mengeluarkan arahan untuk mereka kembali bertugas.

“Tetapi sekiranya, mereka kembali secara sukarela untuk membantu guru besar menyediakan sekolah, ia bukan arahan Kementerian Pendidikan.

“Arahan sebelum ini adalah kepada anggota khidmat pengurusan (AKP) yang termasuk dalam perkhidmatan pengurusan. Setakat ini arahan untuk guru belum lagi,” katanya dalam sidang media harian mengenai perintah kawalan pergerakan di Putrajaya hari ini.

Awal hari ini, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata pihaknya akan mengedarkan garis panduan pengurusan pembukaan semula sekolah esok bagi membantu pentadbiran dan guru membuat persediaan sewajarnya.

Menurutnya, garis panduan pergerakan pelajar di sekolah bermula daripada setibanya pelajar di sekolah hingga mereka pulang.

Garis panduan itu disusun secara terperinci oleh Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mohd Radzi sebelum ini mengumumkan sekolah yang dibuka semula nanti hanya untuk murid Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 Atas, yang akan menduduki peperiksaan awam yang sudah dianjak sehingga sebelum April tahun depan. – 3 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen