1 daripada 3 rakyat Malaysia dipotong gaji, menurut tinjauan Jobstreet


Chan Kok Leong

Kira-kira 20% rakyat Malaysia juga kehilangan pekerjaan semasa kerajaan memerintahkan PKP yang bermula pada 18 Mac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2020.

LEBIH satu pertiga rakyat Malaysia mengalami pemotongan gaji akibat penutupan pandemik Covid-19, menurut tinjauan Jobstreet.

Tinjauan terhadap 5,000 pengguna Jobstreet menunjukkan 35% mengalami pemotongan gaji, dengan pengurangan gaji sehingga 30%, kata pengurus Bock Herm Gan semasa sidang media maya hari ini.

Beliau berkata sehingga 20% rakyat Malaysia juga kehilangan pekerjaan semasa kerajaan memerintahkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac.

“Mereka yang kehilangan pekerjaan adalah pekerja kontrak jangka pendek dan bergaji rendah.

“Sektor yang mengalami kerugian pekerjaan terburuk adalah perhotelan dan pelancongan, terutama perusahaan kecil,” kata Gan.

Katanya, tinjauan dilakukan pada Mei menunjukkan 54% rakyat Malaysia secara aktif mencari pekerjaan.

“Di Google, kami juga mendapati terdapat peningkatan pencarian pekerjaan sebanyak 250%,” kata Gan.

Semasa pembentangan, Gan berkata terdapat lebih 74 juta carian pekerjaan di Google pada Mac, peningkatan 13% sebelum wabak Covid-19.

Setiap tahun, carian pekerjaan adalah 16% lebih tinggi dengan tambahan 5 juta carian bagi nasihat kerjaya.

Bagaimanapun, Gan berkata beberapa sektor masih mengambil pekerja.

“Pekerjaan yang paling dicari oleh majikan hari ini adalah dalam sektor teknologi maklumat (IT), pembuatan dan penjagaan kesihatan.”

Menurut Jobstreet, terdapat 3,269 kekosongan dalam bidang IT, 3,314 dalam bidang perkilangan, 1,991 dalam perbankan, 1,820 dalam bidang peruncitan dan 1,307 dalam bidang kesihatan.

“Permintaan yang meningkat untuk pekerja IT susulan dengan syarikat yang ingin menyusun semula perniagaan mereka agar lebih digital,” kata Gan.

Sementara itu, Jobstreet juga melancarkan kempen #worknow untuk membantu pencari kerja Malaysia mencari pekerjaan baharu dengan cepat. – 3 Jun, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen