Rumah pekerja sempit dan sesak punca Covid-19 mudah menular


Ravin Palanisamy

Kebanyakan pekerja asing tidak boleh merungut dengan keadaan kediaman disediakan majikan kerana sedar mereka tidak akan mampu untuk membayar jika menyewa rumah sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Jun, 2020.

PEKERJA binaan Mohamad Alongir terpaksa bertabah dengan keadaan kehidupnya yang bersesakan di dalam kabin kontena bersama teman sekerja serta rakan senegara dari Bangladesh.

“Apa yang saya perlukan hanyalah tempat berehat, makan dan tidur,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam Bahasa Malaysia yang berterabur dan dengan isyarat tangan ketika ditemui di tempat penginapannya baru-baru ini.

Alongir bekerja di sebuah projek bangunan di Keramat, Kuala Lumpur, dan tinggal bersama 20 pekerja migran lain di lima kabin kontena yang diletakkan di bawah jejambat tidak jauh dari tempat kerja mereka.

Alongir membenarkan The Malaysian Insight memasuki kabin kontena yang dikongsi bersama yang lain.

Papan lapis kayu digunakan sebagai pembahagi dan setiap ruang tidur lelaki dipenuhi beg dan pakaian. Dapur luar sementara sangat asas dan terdedah kepada persekitaran yang berdebu.

Alongir dan rakan sekerja mempunyai dokumen dan permit yang sah. Ada yang bekerja di Malaysia selama hampir lima tahun sementara yang lain seperti dirinya tiba kurang setahun yang lalu.

Alongir berkata dia tidak boleh merungut mengenai keadaan tempat tinggal pekerja yang disediakan oleh majikan kerana sedar mereka tidak akan mampu menanggung kos menyewa tempat lain sendiri.

“Ini adalah tempat yang diberikan kepada kami. Saya tidak mempunyai cukup wang untuk menyewa di luar,” katanya sambil meminta maaf kerana penguasaan bahasanya yang kurang baik.

Dia berkata pekerja juga lebih suka hidup dalam keadaan begitu kerana ia membolehkan mereka kekal bersama.

“Kami berasa selamat dan dapat saling membantu jika ada masalah.”

Alongir dan anak buahnya kembali bekerja di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Mereka bekerja sehingga jam 5 petang setiap hari dan pulang ke kediaman uzur untuk memasak, makan dan berehat sehingga keesokan paginya.

Tempat tinggal pekerja menjadi tumpuan ketika Malaysia menangani jangkitan Covid-19 di kalangan pekerja migran.

Walaupun jumlah jangkitan harian berkurangan kepada dua digit, kebanyakan kes adalah di kalangan komuniti pekerja migran, sama ada pekerja pasar, binaan atau pembersihan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini berkata, 78% kes Covid-19 sejak 4 Mei melibatkan pekerja asing, menunjukkan keadaan hidup mereka yang sesak sebagai penyebab utama penularan. – 3 Jun, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen