CHINA mengenakan perintah berkurung di beberapa bandarnya pada Februari ketika pandemik Covid-19 hampir mencapai kemuncaknya di sana, menyebabkan gangguan besar terhadap rantaian bekalan pelbagai produk, termasuk raja buah Malaysia iaitu durian.
Dengan perintah berkurung di China sudah ditarik balik, industri makanan dan minuman di negara itu mulai pulih secara perlahan-lahan, tetapi permintaan terhadap durian Musang King masih jatuh.
Pengeksport durian Malaysia berkata keterujaan rakyat China terhadap buah itu tidak sama seperti sebelum perintah berkurung dikenakan.
Mereka berkata permintaan untuk isi durian beku dan durian beku jatuh kira-kira 20%, tetapi mereka optimistik penurunan itu hanya sementara.
Pengarah Urusan Nature Goodness Lim Siang Sin berkata industri makanan dan minuman di China baru saja mulai pulih dan permintaan dijangka naik semula ketika musim bunga akan datang.
“Untuk sementara waktu, pengimport di China masih menghubungi kami untuk mendapatkan stok, walaupun jumlah berkurangan. Kami percaya keadaan akan pulih pada bulan ini atau Julai,” kata Lim kepada The Malaysian Insight.
Pengarah Jabatan Eksport Fama Ser Tian Sin berkata permintaan durian dari pengguna China kekal kukuh walaupun berlaku kejatuhan sedikit pada masa ini.
Pengarah Urusan Top Fruits Sdn Bhd Tan Sue Sian berkata pandemik Covid-19 paling teruk melanda China ketika tempoh sambutan Tahun Baru China, yang menyebabkan perintah berkurung dikuatkuasakan di beberapa bandar.
Tan berkata pengekseport kemudian menghentikan seketika penghantaran ke China, dan keadaan bertambah buruk apabila Malaysia turut menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac.
“Namun, selepas eksport disambung semula, jumlah durian eksport kekal,” katanya.
Pengarah Urusan Dulai Fruits Enterprise Eric Chan berkata syarikatnya dapat mengeskport 20 tan durian beku ke Wuhan ketika ia masih di bawah perintah berkurung, menggunakan penerbangan tempahan khas, tetapi apabila PKP dikuatkuasakan, beliau hanya dapat menghantar barang ke China menerusi laluan laut.
Bagaimanapun, Chan berkata permintaan durian di China tidak jatuh dan beliau sedang menunggu untuk mengeksport 2,000 tan buah itu bulan ini. – 3 Jun, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen