Pasca Covid-19: Internet berkelajuan tinggi kini jadi keperluan


WABAK Covid-19 telah melanda dunia. Malaysia tidak terkecuali. Kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada seluruh rakyat Malaysia. Ramai orang hanya terperangkap di rumah dan setiap pergerakan ke luar rumah dibataskan. 

Pada mulanya terasa seperti kemerdekaan kita sudah dirampas, tetapi dipertimbangkan semula demi memutuskan rantaian virus ini pada masa depan, kita tetap hanya duduk di rumah. Memikirkan cara agar diri sebati kepada norma baharu yang banyak disebut orang.  

Waktu di rumahlah kita dapat berhubung atas pelbagai urusan melalui internet. Internet yang dulu dianggap sebagai memenuhi kehendak, kini berubah kepada utiliti. Keperluan di setiap rumah.

1. Bekerja dari rumah

Berkerja hanya dari rumah tanpa pergi ke pejabat semakin menjadi trend ketika pasca Covid-19. Tetapi kualiti bekerja di rumah hanya mencapai maksimum apabila terdapat capaian internet yang tinggi. Akan timbul masalah apabila ada kakitangan yang tidak mempunyai capaian internet yang tinggi.

2. Pendidikan melalui talian

Begitu juga dalam pendidikan. Sekolah dan kampus ditutup. Virus Covid-19 mudah tersebar jika ada pelajar yang didapati positif kerana budaya perhubungan rapat antara pelajar menyebabkan sekolah dan kampus terpaksa ditutup. Ini menuntut para pelajar sekolah sehingga mahasiswa menghadiri kelas dalam talian. Bagaimana pelajar yang tidak mendapat capaian internet berkelajuan tinggi di rumahnya? Mereka akan ketinggalan dalam pelajaran.

3. Penggunaan sistem nirtunai semakin meluas

Dalam kes Covid-19, virus membunuh ini boleh hidup selama beberapa jam pada permukaan wang kertas. Semasa kemuncak serangan wabak di Wuhan, bank di daerah ini mula melakukan pembersihan ke atas wang kertas menggunakan sinaran UV sebelum dikuarantin selama 14 hari. 

Di China penggunaan sistem nirtunai sudahpun meluas dan masalah penyebaran menerusi wang dapat dikurangkan.

Di Malaysia sistem nirtunai atau e-tunai masih bertatih dengan pelbagai platform seperti GrabPay, TouchNGo eWallet, Boost masih bersaing di dalam pasaran yang kecil.

Ada kedai yang terima GrabPay tetapi tidak terima TouchNGo eWallet. Ia amat menyusahkan pengguna dalam usaha kerajaan menggalakkan penggunaan pembayaran nirtunai.

Umum mengetahui, kerajaan melalui Belanjawan 2020 telah memperuntukkan RM450 juta untuk menggalakkan rakyat menggunakan sistem nirtunai. Pasca Covid-19  ini, disarankan agar kerajaan  menggandakan usaha ini.

4. Peningkatan penggunaan platform e-dagang

Ketika rakyat dibataskan pergerakan, platform beli-belah dalam talian menjadi pilihan seperti Shopee dan Lazada. Buktinya kita dapat lihat keadaan barang lambakan di gudang  syarikat-syarikat perkhidmatan penghantaran seperti JNT dan DHL di musim PKP ini. Begitu juga perkhidmatan penghantaran makanan seperti Gradfood dan FoodPanda.

Inilah realitinya trend baharu perniagaan dan perkhidmatan pasca Covid-19.

5. E-undi akan menjadi kebiasaan

Telefon bimbit pintar sudah berubah menjadi keperluan. Dari urusan kerja ke urusan beli-belah, semua dilakukan menggunakan telefon yang ada di tangan kita.

Tinjauan atau kajian dalam talian biasanya hanya dilakukan oleh pelajar sarjana dalam salah satu cara mendapatkan sumber kajian. Kini undian dalam talian ini semakin meluas.

Malaysia antara negara yang sukar ditewaskan jika ia melibatkan undian atas talian.

Kita dapat lihat bagaimana Faiz Subri menang Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) untuk jaringan tercantik tahun 2016 hasil bersatunya undian atas talian rakyat Malaysia.

Selain itu,PKR menjadi antara parti terawal menggunakan sistem e-undi dalam pemilihan partinya. Tidak mustahil suatu hari nanti pilihan raya umum juga boleh dilakukan dalam talian jika majoriti rakyat sudah mendapat akses internet berkelajuan tinggi di rumah masing-masing.

Selepas lebih 23 tahun Koridor Raya Multimedia dilancarkan oleh Dr Mahathir Mohamad dan Bill Gates di Cyberjaya, perkhidmatan internet berkelajuan tinggi masih belum menjadi utiliti seperti bekalan elektrik dan air. 

Capaian internet berkelajuan tinggi melalui teknologi kabel kaca fiber optik masih tidak menyeluruh di Malaysia. 

Ketika ini hanya 15% kawasan di Malaysia yang mencapai kelajuan internet melebihi 15Mbps. Masih banyak lagi kawasan bandar yang masih tidak mendapat capaian internet berkelajuan tinggi atas 10Mbps. 

Jauh sekali di kawasan kampung untuk mendapat akses perkhidmatan internet berkabel fiber optik, mereka masih menggunakan kabel tembaga yang hanya mencapai akses kelajuan maksimum 8Mbps, itu pun kabel yang dipasang selepas kita mencapai kemerdekaan. 

Agaknya berapa lama lagikah kita boleh menunggu untuk dapat capaian internet tertinggi di rumah kita? Sedangkan ketika ini Singapura sudah menjadi negara keda purata mempunyai capaian internet terpantas di dunia.

Kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC)  seperti Telekom Malaysia Berhad yang mendominasi perkhidmatan internet di Malaysia perlu memikirkan cara untuk meningkatkan perkhidmatan internet untuk rakyatnya. 

Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui menterinya Saifuddin Abdullah perlu memikirkan perkara ini; meningkatkan perkhidmatan internet kepada rakyat. 

Menteri perlu tahu pada tahun 2016, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu telah meletakkan akses kepada internet sebagai antara hak asasi manusia. 

Dalam krisis Covid-19 ini, capaian internet adalah suatu keperluan kerana hampir majoriti urusan dilakukan dalam talian. 

Internet sebagai utiliti tidak boleh ditangguhkan lagi. Tanpa internet kehidupan akan menjadi amat pincang. 

Oleh itu kami meramalkan usaha yang lebih bersepadu untuk merealisasikan internet sebagai utiliti akan akhirnya berlaku serentak di bawah Pelan Kesalinghubungan dan Fiberisasi Nasional (NFCP). – 2 Jun, 2020.

 *Muhammad Hasyir Hashim adalah setiausaha pengelola Pemuda PKR Johor.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen