Geng Latin disyaki terlibat pecah rumah tumpas


GENG Latin yang disyaki terlibat melakukan jenayah pecah rumah di Taman Melawati dekat Kuala Lumpur tumpas selepas empat anggota kumpulan itu ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Noor Azmi Yusoff berkata tiga lelaki warga asing berumur lingkungan 21 hingga 49 tahun ditahan dalam sebuah kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu selepas polis menerima laporan berhubung kejadian pecah rumah di taman berkenaan pada 10.30 pagi, semalam.

Beliau berkata berlaku sedikit pergelutan ketika tangkapan dengan suspek yang cuba melarikan diri.

“Polis terpaksa menggunakan sedikit kekerasan bagi melaksanakan tangkapan, namun tiada kecederaan pada polis dan suspek semasa kejadian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, hari ini.

Beliau berkata kesemua mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah selain polis turut merampas antaranya peralatan pecah rumah dalam kereta tersebut.

Noor Azmi berkata ekoran tangkapan itu, polis menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 41 tahun di sebuah pusat beli-belah di Taman Danau Kota, Setapak di sini pada hari sama.

“Polis turut merampas antaranya 11 utas jam tangan pelbagai jenama, sebuah komputer riba, enam dompet dan empat pasport,” katanya.

Ekoran tangkapan itu, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes pecah rumah di sekitar Taman Melawati. – Bernama, 2 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen