Isu Korea Utara, PBB digesa lebih tegas


Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Rabu selepas ujian peluru balistik Korea Utara berlaku. Mesyuarat itu diminta diadakan oleh Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan yang bimbangkan kestabilan rantau itu disebabkan tindakan Pyongyang. – Gambar EPA, 29 November, 2017.

MAJLIS Keselamatan PBB akan mengadakan mesyuarat tergempar pada Rabu untuk membincangkan pelancaran peluru balistik terbaru oleh Korea Utara dan desakan Amerika Syarikat supaya lebih banyak sekatan dikenakan ke atas Pyongyang.

Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan meminta mesyuarat itu diadakan untuk membincangkan pelancaran peluru balistik rentas benua (ICBM), dan Jepun mengatakan berkemungkinan peluru itu jatuh ke dalam zon eksklusif ekonominya.

Bercakap di Washington, Setiausaha Negara AS Rex Tillerson menggesa “tindakan tambahan” untuk mengukuhkan sekatan itu, termasuk membenarkan negara-negara memintas kapal membawa barangan ke dan dari Korea Utara.

Ahli majlis dijadualkan bertemu pada sesi terbuka bermula jam 4.30 petang (2130 GMT).

Majlis itu sudah dijadualkan bertemu untuk membincangkan progress pelaksanaan tiga sekatan yang baru sahaja dikenakan untuk menekan program ketenteraan Pyongyang.

Sejak November tahun lepas, majlis itu sudah mengenakan sekatan eksport kepada arang batu, besi, tekstil dan makanan laut, menyekat kerjasama dan menyenarai hitamkan beberapa entiti Korea Utara kerana ujian senjata dan nuklear negara itu.

Ia juga mengharamkan pengambilan pekerja Korea Utama, mengenakan had kepada eksport minyak terutama di China, rakan dagang utama Pyongyang.

“Masih ada ruang untuk tindakan baru,” kata Duta Itali Sebastiano Cardi yang merupakan presiden majlis kepada wartawan. “Kita akan lihat”.

Di bawah resolusi PBB, Korea Utara dihalang membangunkan peluru berpandu dan senjata nuklear, tetapi Pyongyang berhujah yang senjata itu diperlukan untuk mempertahankan negara itu dari AS yang “ganas”.

Pelancaran terbaru pada Rabu adalah ujian peluru balistik pertama dalam tempoh dua bulan, menutup ruang yang masih ada untuk rundingan diplomatik.

Ujian itu adalah ujian ketiga ICBM yang berjaya dilakukan, mempunyai keupayaan mencapai jarak sehingga AS walaupun pakar mengatakan Pyongyang mungkin masih belum menguasai keupayaan teknikal itu sepenuhnya.

Pentagon mengatakan penilaian awalnya menunjukkan yang ICBM terbang sehingga 1,000 kilometer (620 batu).

AS memainkan peranan utama dalam mendesak sekatan antarabangsa dikenakan ke atas Korea Utara, tetapi berdepan tentangan hebat China.

Ketika rundingan sekatan lepas di PBB, permintaan untuk embargo minyak, tindakan senarai hitam pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un dan kebenaran memeriksa kapal Korea Utara digugurkan atas desakan China.

China, seperti AS merupakan ahli majlis dengan kuasa veto berhujah yang sekatan terlalu keras akan memburukkan krisis kemanusiaan dan terlalu menekan rejim itu sehingga boleh bertindak di luar batas. – AFP, 29 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen