Semua taska boleh operasi dengan SOP diperkemas, kata Ismail Sabri


Mohd Farhan Darwis

Tadika dan tabika pula dijangka dapat beroperasi pada Julai dengan SOP Kementerian Pendidikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2020.

SEMUA taman asuhan kanak-kanak (Taska) kini dibenarkan beroperasi selepas prosedur operasi standard (SOP) berkenaan premis jagaan kanak-kanak itu sudah diperkemas, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan keselamatan itu berkata, SOP disediakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melibatkan penghantaran anak, pengurusan di taska, dan juga pemulangan.

“Kita sudah bersetuju dengan operasi yang dianggap lengkap dan kemas, SOP lengkap sewaktu hantar anak, penjagaan, ambil pulang semua dalam SOP yang diperkenalkan KPWKM.

“Kita dengan ini benarkan baki 6,696 mereka beroperasi. Mereka boleh rujuk SOP melalui laman web kementerian dan Jabatakan Kebajikan Masyarakat supaya mereka boleh mulakan operasi taska,” katanya.

Kebenaran awal hanya melibatkan 314 daripada kesemua 7,000 taska dengan SOP asas, katanya.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, kerajaan berharap tiada lagi kes ibu bapa terpaks mengambil cuti tanpa gaji untuk menjaga anak.

“Kita dapati ada majikan swasta paksa pekerja ambil cuti tanpa gaji kalau nak jaga anak sedangkan mereka tak boleh buat paksaan.

“Kita harap tak timbul isu ibu bapa bekerja tak boleh bekerja kena jaga anak (atau) majikan yang arahkan ibu atau bapa bercuti tanpa gaji untuk jaga anak,” katanya.

Operasi taman didikan kanak-kanak (Tadika) atau taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) pula dijangka dapat bermula pada Julai.

Kementerian Pendidikan akan menjadi penyelaras untuk membentuk SOP operasi kerana pusat berkenaan bawah bidang kuasa kementerian berbeza termasuk Kementerian Perpaduan.

“Oleh kerana banyak tabika di bawah pelbagai kementerian, mesyuarat bersetuju supaya kementerian pendidikan menjadi penyelaras dan mesti cadangkan SOP yang diselaraskan dengan semua tadika di bawah kementerian yang berbeza-berbeza ini.

“Kalau nak dibuka semulai Julai ini insha-Allah kita beri kebenaran,” kata Ismail Sabri. – 2 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen