Kakitangan, banduan Penjara Sungai Buloh disaring, kata menteri


Mohd Farhan Darwis

Ujian saringan Covid-19 di Penjara Sungai Buloh melibatkan 600 banduan di salah satu daripada lapan blok penjara tersebut dan juga kesemua 700 kakitangan. – Gambar Facebook, 2 Jun, 2020.

KESEMUA kakitangan dan sebahagian banduan di Penjara Sungai Buloh akan disaring ekoran kes positif Covid-19 yang dikesan di kalangan tahanan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, ia melibatkan 600 banduan di salah satu daripada lapan blok penjara tersebut dan juga kesemua 700 kakitangan.

“Penjara Sungai Buloh ada lapan blok kesemuanya, dan saringan hanya dibuat di satu blok yang (banduan) terkena jangkitan positif kita buat saringan di situ sahaja.

“Terdapat 600 banduan, kita akan buat saringan keseluruhan. Kakitangan penjara 700 orang, kita buat saringan semua.

“(Kakitangan) bekerja di semua blok termasuk blok berkaitan (positif Covid-19),” kata Ismail Sabri.

Tambahnya, tindakan saringan itu dilakukan di secara bersasar di kawasan yang terlibat kes Covid-19

“Saringan hanya dilakukan di Penjara Sungai Buloh, tak perlu penjara lain kecuali ada kes di penjara lain.

“Prinsip kita sama, kita hanya buat saringan di kawasan terlibat. Katakan di  Penjara Sungai Buloh. Kita hanya buat saringan di kawasan tersebut begitu juga di depoh tahanan Imigresen,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu berkata demikian ketika sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.

Ketika ditanya, beliau berkata tiada sebarang lawatan dibenarkan ke mana-mana penjara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam mendedahkan, banduan yang dikesan positif Covid-19 itu bukan warganegara dan ditahan di penjara itu sejak 2016.

Banduan itu juga dimasukkan semula ke penjara pada 13 Mac lalu dan didapati positif Covid-19.

Menurutnya, banduan tersebut telah dipindahkan ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih dan Kementerian Kesihatan sedang mengesan kontak rapat pesakit terbabit untuk disaring. – 2 Jun 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen