Kumpulan sivil desak penjelasan kematian warga Nepal dalam tahanan


KUMPULAN masyarakat sivil mendesak polis memberi penjelasan berhubung kematian seorang warga Nepal dalam tahanan.

Menurut sumber, kumpulan yang memperjuangkan hak tahanan dalam tahanan, Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (Edict) berkata lelaki berusia 26 tahun itu mati dalam lokap di Jinjang.

Pengarah Eksekutif Edict, Khalid Mohd Ismath dalam satu kenyataan berkata tahanan diperintahkan direman dari 27 Mei hingga 10 Jun tetapi meninggal dunia lima hari selepas berada di lokap.

“Menurut sumber, tahanan direkodkan mati pada pukul 8.20 pagi oleh seorang paramedik dari Hospital Selayang.”

Menurut Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 334, menghendaki majistret atau koroner diberitahu segera mengenai sebarang kematian dalam tahanan.

Khalid mendakwa mayat itu tidak dilihat secara in-situ (berada pada kedudukan asal atau normal) oleh koroner KL.

“Kegagalan melihat secara in-situ dijangka disebabkan oleh kebimbangan mengenai penyebaran Covid-19 sehingga kami tidak dapat mengesahkannya.

“Terdapat banyak kematian dalam tahanan di Malaysia. Oleh itu, sangat penting agar para koroner melihat mayat orang yang meninggal dunia in-situ sebelum dipindahkan, seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 330 Kanun Prosedur Jenayah.

“Edict mengingatkan polis, masyarakat dan kerajaan yang di bawah Akta Polis bahawa pihak polis bertanggungjawab terhadap kesejahteraan semua tahanan.”

Kumpulan itu meminta Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim mendedahkan butiran kes itu kepada orang ramai.

Mereka juga mendesak Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Ahmad Terrirudin Mohd Salleh memaklumkan apakah benar Kanun Prosedur Jenayah tidak dipatuhi berhubung koroner melihat mayat in-situ.

Khalid menambah memandangkan banyak bukti salah laku oleh penjaga dan pegawai penyiasat dalam banyak siasatan yang dilakukan di depan koroner dan dalam siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). – 2 Jun 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen