Lapangan terbang Bali terus ditutup


Asap kelabu tebal dan debu kelihatan keluar dari Gunung Agung sejak minggu lepas kini meletus tinggi ke udara, memaksa ratusan penerbangan dibatalkan dan 120,000 pelancong terperangkap. – Gambar AFP, 29 November, 2017.

LAPANGAN terbang antarabangsa di Bali terus ditutup untuk hari ketiga, kata pegawai Indonesia pada Rabu ketika debu gunung berapi itu mewujudkan ancaman kepada pesawat.

“Lapangan Terbang Ngurah Rai di Bali akan terus ditutup sekurang-kurangnya sehingga pagi Khamis,” kata jurucakap lapangan terbang Arie Ahsanurrohim kepada AFP.

Gunung Agung yang terletak di salah sebuah kawasan pelancongan utama dunia boleh meletus bila-bila masa, pegawai memberi amaran seterusnya memaksa lapangan terbang itu ditutup sejak Isnin.

Asap kelabu tebal dan debu kelihatan keluar dari gunung itu sejak minggu lepas kini meletus tinggi ke udara, memaksa ratusan penerbangan dibatalkan dan 120,000 pelancong terperangkap.

Debu berbahaya kepada kapal terbang kerana ia menyebabkan landasan licin dan boleh memasuki enjin pesawat.

Puluhan ribu penduduk di sekitar gunung berapi itu sudah meninggalkan kediaman mereka, kali terakhir gunung itu meletup pada 1963 membunuh sekitar 1,600 orang. 100,000 orang berkemungkinan juga terpaksa meninggalkan kediaman mereka sekiranya keadaan bertambah buruk, kata pegawai agensi bencana.

Terdapat 10 kilometer zon penampan di sekitar Gunung Agung, yang terletak 75 kilometer dari kawasan pelancongan terkenal, Kuta.

Lebih kurang 100 buah bas akan membawa pelancong terperangkap ke beberapa destinasi termasuklah bandar kedua Indonesia, Surabaya- perjalanan yang memakan masa 13 jam termasuk menaiki feri- serta ke Jakarta, kata pegawai lapangan terbang ketika hujan lebat terus turun di Bali.

Pegawai agensi bencana sebelum ini menaikkan amaran bahaya ke tahap tertinggi dan mempercepatkan misi pemindahan penduduk sekitar Gunung Agung.

Gunung Agung kembali aktif pada September memaksa pemindahan 140,000 orang yang tinggal berhampiran. Aktivitinya berkurangan pada hujung Oktober dan ramai penduduk kembali ke rumah masing-masing ketika itu.

Bagaimanapun, pada Ahad gunung itu meletuskan asap tinggi ke udara untuk kali kedua dalam masa seminggu. Keadaan yang disifatkan pakar sebagai letusan freatik yang disebabkan pemanasan air bawah tanah.

Lava sejuk juga kelihatan- sama dengan aliran lumpur yang wujud seringkali wujud sebelum letusan lava berapi.

Indonesia, kawasan gunung berapi paling aktif di dunia, terletak di “Cincin Api” Pasifik di mana plat tektonik bertembung menyebabkan letusan gunung berapi dan aktiviti seismik. – AFP, 29 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen