AGENSI antirasuah menahan tiga timbalan pendakwa raya di Pulau Pinang selepas menerima aduan mengenai rasuah berjumlah RM500,000 bagi menyelesaikan kes mahkamah di negeri itu.
Tangkapan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah lewat malam Isnin berhubung penyelesaian kes jenayah komersil pada 16 Mei lalu.
Ketiga-tiga lelaki itu termasuk seorang pegawai kanan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk direman pagi ini.
Menurut sumber, tangkapan itu berjaya dilakukan selepas pegawai SPRM menyamar sebagai individu yang memerlukan bantuan untuk menyelesaikan kes dengan tawaran RM100,000.
“Seorang daripada pegawai itu menerima tawaran itu dan berjaya ditahan selepas menerima wang yang ditandakan SPRM,” kata sumber.
Tangkapan susulan dijalankan ke atas dua lagi timbalan pendakwa raya dari negeri sama yang diarahkan hadir ke SPRM Kedah untuk dirakam keterangan pada hari yang sama.
SPRM merampas sejumlah wang tunai daripada rumah dan pejabat ketiga-tiga suspek. – 2 Jun 2020.
Komen