Lelaki warga India ditemukan mati dengan kesan cedera di badan


SEORANG lelaki warga India ditemukan mati dengan beberapa kesan luka di badan di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata mangsa dikenali sebagai Settu Ezhilarasan, 21, ditemukan orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu pada kira-kira 4 petang pada hari tersebut.

“Terdapat kesan luka melintang dipercayai daripada senjata tajam di bahagian dada sebelah kanan dan belakang badan mangsa.

“Polis turut menemui satu topi keselamatan dan terdapat juga tali keselamatan terlilit di badan mangsa. Tiga kesan cap jari turut dikesan pada topi keselamatan berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian turut menjumpai dua kesan darah kira-kira 200 meter dari mangsa, dua pasang sarung tangan plastik, satu jaket keselamatan dan satu baldi mengandungi dua plastik berisi darah.

Shamsul Amar berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan lelaki itu mati di kawasan lain sebelum mayatnya di bawa ke lokasi itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda berdasarkan kesan tayar yang dijumpai berhampiran mangsa.

“Laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah mendapati mangsa mengalami kecederaan luka selain tusukan disyaki daripada foklif.

“Buat masa ini, kita belum dapat kepastian sama ada kes ini adalah kes bunuh atau kemalangan, bagaimanapun buat masa ini, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Bernama, 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen