10 warga China ditahan disyaki terlibat judi dalam talian 


POLIS menahan 10 lelaki warganegara China selepas menyerbu sebuah apartmen yang dipercayai menjadi lokasi aktiviti perjudian dalam talian di Batu 9 Cheras, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang  ACP Ahmad Dzaffir Yussof berkata kesemua suspek yang berumur 20 hingga 30 tahun itu didapati sedang sibuk menjalankan urus niaga judi dalam talian semasa apartmen diserbu pada kira-kira pukul 1.00 tengah hari.

“Siasatan lanjut mendapati pusat judi ini baru beroperasi lebih kurang sebulan yang lepas dan menyasarkan mangsa di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata polis turut merampas sembilan unit komputer riba dan 196 unit telefon bimbit pelbagai jenama.

Ahmad Dzaffir berkata kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – Bernama, 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen