Sektor pembinaan bermula perlahan selepas dibenar beroperasi


Ragananthini Vethasalam

HANYA satu daripada empat tapak pembinaan beroperasi sejak sektor ekonomi diberi kebenaran dibuka selepas diarah tutup susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac, kata Presiden Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), Foo Chek Lee.

Foo berkata yang lain akan memulakan operasi sebaik sahaja mereka memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat kerajaan untuk memastikan keperluan keselamatan dan keselamatan, termasuk setiap pekerja menjalani pemeriksaan Covid-19.

Kerajaan membenarkan sektor pembinaan dibuka semula pada 10 April, tetapi dengan SOP yang ketat bagi membendung penyebaran virus.

Foo juga berkata beberapa kontraktor mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum memulakan operasi kerana memikirkan terlebih dahulu masalah apabila kerja dimulakan.

“Tapak pembinaan juga sedang mengumpulkan pekerja kerana beberapa pekerja asing mungkin tidak datang kerana mereka tiada pendapatan dan makanan semasa PKP,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menambah, beberapa kontraktor menghadapi masalah aliran tunai kerana terpaksa menghentikan kerja sejak 18 Mac ketika PKP dilaksanakan.

“Sebilangannya mungkin berdepan masalah kewangan untuk memulakan semula projek kerana mereka hanya akan dibayar empat bulan sebagai sebahagian daripada pembayaran progresif.

“Sementara itu mereka masih perlu membayar bahan binaan, sewa mesin, gaji dan kos tetap.

“Ini bermakna mereka perlu bertahan sekurang-kurangnya selama empat bulan tetapi kita perlu ingat, mereka tidak mempunyai pendapatan selama tiga bulan terakhir kerana PKP,” katanya.

Beliau juga berkata terdapat kelewatan dalam mendapatkan keputusan ujian bagi pekerja.

Foo berkata, beberapa pekerja binaan yang menjalani ujian Covid-19 masih menunggu keputusannya. Sebahagiannya pula sudah menunggu lebih daripada dua minggu.

“Ada yang masih menunggu temujanji untuk menjalani ujian mereka. Kerajaan harus mempunyai lebih banyak makmal ujian untuk mempercepatkan proses ujian,” katanya.

Bayaran untuk ujian sedemikian juga menjadi masalah di kalangan majikan dan pekerja, kata Foo.

“Bagi pekerja yang mencarum dengan Perkeso, kos saringan dibayar oleh Perkeso yang dijalankan klinik dilantik. Ia biasanya untuk pekerja sah yang mempunyai majikan.

“Tetapi bagi mereka yang bekerja sendiri atau pekerja haram, mereka harus membayar sendiri untuk menjalani ujian. Ini adalah masalah utama,” katanya.

Wabak Covid-19 di kalangan pekerja binaan menjadi isu sejak sektor ini dibuka untuk beroperasi semula.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya tiga kluster pembinaan dikesan dan tapak diarah ditutup, menurut Kementerian Kesihatan.

Menurut data daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, antara 20 April hingga 28 Mei, pemeriksaan dilakukan di 5,729 tapak pembinaan.

Data menunjukkan 20% - atau 230 - tidak mematuhi arahan. Sebanyak tujuh tapak pembinaan atau 1% diperintahkan tutup.

Tujuh daripadanya adalah tapak pembinaan di Jalan Damai, Kampung Dato Keramat dan Mukim Batu di Sentul Kuala Lumpur.

Selain itu, empat tapak pembinaan di Kedah dan satu di Genting diarah tutup. – 2 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen