Lebih banyak sektor dibuka jika jangkitan baharu terus rendah, kata Noor Hisham


Noel Achariam

Kerajaan mempertimbangkan memberi lebih banyak kelonggaran agar sektor lain seperti sosial, sukan dan pendidikan dapat beroperasi jika bilangan harian kes Covid-19 terus rendah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2020.

TIADA lonjakan pasca Aidilfitri dalam kes jangkitan Covid-19 seperti yang bimbangi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Bagaimanapun, kerajaan masih memantau keadaan sebelum memutuskan apakah lebih banyak sektor akan dibenarkan dibuka.

Ia mungkin dibuat jika kes harian baharu tidak meningkat.

“Kami bimbang akan ada lonjakan kes selepas Hari Raya. Tetapi sudah seminggu sejak Hari Raya dan tiada kenaikan yang drastik,” katanya.

“Kami akan terus memantau dan menasihati Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Majlis Keselamatan Negara jika ia (jumlah kes harian yang rendah) berlanjutan.

“Mungkin kita boleh memberi lebih banyak kelonggaran agar sektor lain seperti sosial, sukan dan pendidikan dapat beroperasi,” katanya hari ini pada sidang media harian kementerian mengenai koronavirus, di Putrajaya.

Noor Hisham berkata berdasarkan data, tiada petunjuk peningkatan kes yang drastik buat masa ini.

“Kami masih akan memantau keadaan untuk minggu yang akan datang.

“Jika kes tersebut terkawal seperti sekarang, maka kita harus membincangkan hal ini (membuka sektor) dan mengambil tindakan yang sewajarnya.”

Noor Hisham berkata mereka sudah mencatatkan 51 pemulihan daripada Covid-19, dengan 38 kes baharu setakat tengah hari ini.

Tiada kematian baharu, tambahnya.

Daripada 38 kes baharu, 26 diimport termasuk terdiri daripada rakyat Malaysia.

Baki 12 kes tempatan melibatkan enam rakyat Malaysia dan enam warga asing, katanya. – 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen