Lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak akan dibuka di hospital 


Noel Achariam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata garis panduan dan prosedur operasi standard untuk pusat jagaan berkenaan kepada Majlis Keselamatan Negara dan agensi berkaitan esok.– Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2020.

KEUTAMAAN akan diberikan untuk membuka lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak di hospital bagi menempatkan anak petugas kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, dengan membuka lebih banyak pusat jagaan untuk anak-anak petugas barisan hadapan akan membolehkan mereka bertugas mengikut syif.

“Buat masa ini, kita mempunyai 112 pusat jagaan kanak-kanak. Kita sudah membuat permohonan untuk membuka pusat berkenaan di kesemua 146 hospital. 

“Sebaik sahaja kita buka lebih banyak pusat berkenaan untuk petugas barisan hadapan, petugas kesihatan boleh bekerja dua syif.

“Pusat jagaan ini juga perlu beroperasi mengikut syif,” katanya pada sidang media harian Covid-19 hari ini.

Tambahnya, pusat jagaan kanak-kanak lain yang beroperasi juga perlu memberi keutamaan kepada anak-anak petugas barisan hadapan.

Katanya, Kementerian Kesihatan juga akan membentangkan garis panduan dan prosedur operasi standard untuk pusat jagaan berkenaan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan agensi berkaitan esok.

Noor Hisham berkata apabila sektor perniagaan dibuka, banyak ibu bapa akan memerlukan perkhidmatan pusat jagaan anak.

“Yang penting ialah keselamatan di tadika.

“SOP untuk kanak-kanak mesti dipatuhi seperti satu guru bagi satu kumpulan dan mereka tidak dibenarkan bercampur.

“Kami mengkaji SOP bersama dengan agensi berkaitan dan esok kami akan membawanya kepada MKN.”

Beliau berkata jika ia diluluskan, mereka akan mempertimbangkan untuk membenarkan pusat jagaan kanak-kanak beroperasi.

“Tetapi, bila ia akan dibuka, itu akan diputuskan dalam mesyuarat MKN.” – 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen