SEORANG lelaki disyaki terlibat dalam kes pecah amanah di sebuah syarikat ubat-ubatan di Petaling Jaya membabitkan kerugian lebih RM700,000, ditahan dalam serbuan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Puchong Utama dan kini direman selama empat hari.
Beliau berkata lelaki terbabit disyaki terlibat dalam jenayah pecah amanah itu dari tahun 2019 hingga 2020.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan kesalahan itu…kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan lain, Nik Ezanee berkata 15 lelaki ditahan kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya di kawasan perumahan Kampung Tunku Sungai Way, Petaling Jaya dalam operasi petang semalam.
“Kesemua mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan 16 hingga 18 tahun,” katanya.
Menurut beliau, ibu bapa atau penjaga kesemua remaja terbabit dipanggil ke balai polis untuk tindakan selanjutnya.
Dalam operasi trafik itu, polis turut mengeluarkan 27 saman melibatkan pelbagai kesalahan lalu lintas. – Bernama, 1 Jun, 2020.
Komen