Covid-19 di kalangan pekerja asing jadi cabaran baharu, kata KP Kesihatan


Noel Achariam

Rakyat diseru menghentikan stigma terhadap pekerja asing dan bersama mencari jalan menangani masalah jangkitan Covid-19 di kalangan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2020.

MENANGANI peningkatan jumlah kes Covid-19 di kalangan warga asing adalah cabaran baharu bagi Malaysia, dan stigma terhadap mereka tidak akan membantu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kita perlu menolong mereka dan mengurangkan penyebaran virus di sini.

“Kita perlu mengenal pasti dan mencari jalan untuk mengatasi masalah jangkitan Covid-19 di kalangan mereka,” katanya pada sidang media harian kementerian mengenai koronavirus di Putrajaya hari ini.

Noor Hisham berkata, walaupun rakyat Malaysia umumnya mempunyai interaksi terhad dengan pekerja asing, mereka tidak boleh dicap kerana menyumbang kepada ekonomi negara.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Covid-19 tersebar di kalangan pekerja asing dan pendatang tanpa dokumen yang ditahan.

Hingga kini, kementerian sudah memeriksa 35,811 warga asing, dengan 2,014 orang diuji positif terhadap virus tersebut.

Noor Hisham berkata jentera kerajaan, kumpulan masyarakat sivil dan bantuan orang ramai sangat diperlukan untuk mengatasi masalah tersebut.

Katanya, peningkatan kes terbukti sejak 29 April kerana kes import warga asing, mereka yang berada di pusat tahanan imigresen, dan juga di kalangan pekerja asing di pelbagai sektor dalam masyarakat.

Katanya, masalah perumahan pekerja asing mesti ditangani segera untuk memastikan ia tidak menyebabkan jangkitan Covid-19 di kalangan mereka.

“Pekerja asing terutamanya dalam industri pembinaan di Zon Merah mesti disaring dan majikan yang berada di Zon Kuning dan Hijau harus menyaring pekerjanya.

“Kedutaan dan kumpulan masyarakat sivil harus bekerjasama untuk berkomunikasi dengan pekerja asing agar mereka memahami garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang mesti diikuti.”

Noor Hisham berkata majikan bertanggungjawab mendidik pekerjamengenai amalan kebersihan yang betul untuk mencegah penyebaran Covid-19.

“Majikan harus memastikan pekerjanya mengikuti semua SOP.” – 1 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen