POLIS sedang memburu dua lelaki yang dikesan mencampakkan dua guni yang dipercayai mengandungi dadah bernilai kira-kira RM2.67 juta sebelum melarikan diri di sekitar kawasan perairan hutan bakau di Parit Samsu, dekat Muar, awal pagi ini.
Timbalan Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Johor Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata ia merupakan hasil kejayaan Ops Benteng Laut yang dilaksanakan pada pukul 2.10 pagi, yang menyaksikan pihaknya berjaya membuat rampasan dadah terbesar tahun ini.
Beliau berkata pemeriksaan mendapati guni pertama mengandungi 24 bungkusan hitam dipercayai dadah jenis syabu seberat kira-kira 24 kilogram, manakala guni kedua mengandungi lapan bungkusan hitam dipercayai pil ecstasy sekitar 14.7 kilogram, dan kedua-dua guni dadah itu dibawa ke pejabat Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita percaya ia sindiket yang sama mendalangi satu kegiatan penyeludupan dadah, yang mana kita temui sejumlah dadah di di Parit Jawa pada 20 Mei lepas,” kata beliau kepada pemberita di Johor Bahru, hari ini.
Sanifah berkata berdasarkan pemantauan Maritim, pihaknya mendapati kawasan perairan barat Johor meliputi tiga daerah iaitu Pontian, Batu Pahat dan Muar dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ sindiket penyeludupan dadah.
Justeru, pihaknya beserta agensi lain seperti Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia menerusi Op Benteng Laut mempertingkatkan operasi dan pemantauan sekitar kawasan perairan barat meliputi pantai barat Johor sepanjang 231 kilometer (dari Sungai Kesang, Muar sehingga ke Tambak Johor). – Bernama, 1 Jun, 2020.
Komen