Selepas 14 bulan, bicara kes SRC International akan tamat minggu ini


Bede Hong

Perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib Razak akan tamat minggu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Jun, 2020.

PASUKAN pembelaan dan pendakwaan kes penyelewengan dana awam RM42 juta melibatkan Najib Razak akan melakukan penghujahan lisan minggu ini, menandakan perbicaraan SRC International itu semakin sampai ke penghujung.

Penghujahan lisan dijadualkan berlaku selama tiga hari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bermula hari ini dan berakhir pada Rabu- 14 bulan selepas perbicaraan bermula pada 3 April tahun lepas.

Peguam Najib diketuai Muhammad Shafee Abdullah, 68, akan memulakan penghujahan lisan mereka pagi ini.

Pasukan pembelaan memfailkan penghujahan bertulis setebal 643 muka surat pada 5 Mei, manakala pasukan pendakwaan menghantar penghujahan bertulis setebal 306 muka surat.

Jawapan balas dihantar pasukan pembelaan pula setebal 336 muka surat dan pasukan pendakwaan menghantar jawapan balas setebal 446 muka surat.

Penghujahan lisan pendakwaan akan diketuai oleh Pendakwa Raya Khas Kanan V Sithambaram, 68, seorang peguam jenayah terkenal.

Selepas penghujahan tamat, hakim bersidang, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, 52, graduan Universiti Oxford yang pernah mengetuai bahagian korporat dan perundangan Maybank sebelum memasuki perkhidmatan kehakiman akan menetapkan tarikh memberi keputusan.

SRC International yang ditubuhkan pada 7 Januari 2011 adalah anak syarikat 1Malaysia Development Bhd sebelum hak miliknya dipindahkan setahun selepas itu kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF InC) diketuai Najib.

Antara 24 Disember 2014 dan 6 Februari 2014, sejumlah RM42 juta dipindahkan ke dalam akaun Najib di Ambank menerusi anak syarikat SRC, Gandingan Menteri Sdn Bhd dan rakan tanggungjawab sosial korporatnya Ihsan Perdana Sdn Bhd. – 1 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen