Pengusaha dewan rugi majlis kahwin dibatalkan


Khoo Gek San

Tempahan majlis perkahwinan dibatalkan sejak PKP dikuatkuasakan susulan Covid-19 menyebabkan pengusaha dewan berdepan kerugian jutaan ringgit. – Gambar EPA, 3 Jun, 2020.

PENGUSAHA dewan kahwin berdepan kerugian jutaan ringgit apabila tempahan untuk majlis perkahwinan dibatalkan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan dan perniagaan juga dijangka terjejas teruk pada akhir tahun ini.

Presiden Pan Malaysia Koo Soo Restaurants, Chefs Association Wong Teu Hoon berkata semua tempahan dari 18 Mac hingga Ogos dibatalkan menyebabkan mereka berdepan kerugian pada musim perkahwinan paling tinggi disebabkan ketidakpastian akibat wabak Covid-19 dan PKP.

“Tempahan ini biasanya tinggi dari April hingga Ogos. Sekiranya kita bercakap mengenai perniagaan milik sendiri maka mereka dapat menjimatkan sewa tetapi bagi mereka yang menyewa,, sewa sahaja sudah mencecah harga antara RM50,000 hingga RM60,000 sebulan untuk dewan yang lebih kecil.

“Perbelanjaan bulanan untuk ruang dewan yang lebih besar boleh memuatkan kira-kira 1,000 orang atau lebih boleh mencecah RM200,000 termasuk sewa dan gaji.

“Pemilik perniagaan ini dengan mudah akan hilang sekitar RM2 juta hingga RM4 juta setiap satu dalam tempoh waktu puncak ini,” katanya yang memiliki lima dewan kahwin di Melaka.

Beliau berkata terdapat kira-kira 1,000 dewan kahwin di seluruh negara dan dengan ketidakpastian mengenai majlis perkahwinan sehingga akhir tahun ini, mereka berdepan kerugian yang sangat besar.

Tambahnya selain pembatalan kenduri kahwin, acara lain seperti jamuan ulang tahun persatuan dan tempahan ulang tahun kuil Cina juga dibatalkan.

Wong berkata 2020 adalah tahun yang baik untuk perkahwinan dan industri kehilangan potensi pendapatan yang mungkin dapat dihasilkan.

“2020 adalah tahun yang menguntungkan dengan banyak tarikh yang hampir sama terutama seperti 20 Mei dan 6 Jun. Selepas PKP kami berharap pasangan akan memilih untuk berkahwin pada 10 Oktober dan 12 Disember.

“Sebenarnya restoran besar tidak dapat bertahan dari menjual makanan sahaja, mereka memerlukan majlis jamuan untuk mendapat keuntungan,” katanya. – 3 Jun, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen