Pendapatan peniaga kedai makan tetap terjejas pada musim raya


Khoo Gek San

Pengendali F&B masih berdepan kerugian besar apabila orang ramai masih bimbang untuk makan di kedai walaupun perintah kawalan pergerakan bersyarat dikuatkuasakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2020.

PERINTAH kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang membolehkan orang ramai keluar semasa musim perayaan baru-baru ini tidak mendatangkan keuntungan besar bagi pemilik kedai makan.

Mereka berkata walaupun jumlah pengunjung meningkat di musim perayaan namun restoran tetap berdepan kerugian tinggi kerana ketakutan berterusan orang ramai terhadap Covid-19.

Kebanyakan mereka hanya berjaya mengekalkan perolehan harian kerana masih perlu membayar sewa, upah dan kos lain.

Di samping peningkatan jumlah orang ramai di pusat membeli-belah pada hujung minggu sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri juga menjadikan restoran satu kelemahan bagi aspek kesihatan dan keselamatan kerana sukar bagi pengusaha restoran melaksanakan langkah yang diperlukan.

Pengasas bersama MyBurgerLab Chin Renyi berkata rangkaian burger popular tetap dibuka sepanjang PKP tetapi kurang mendapat sambutan kerana terpaksa bergantung kepada khidmat penghantaran.

Dengan PKPB katanya hasil jualan meningkat kepada 50% tetapi perolehan hanya meningkat kepada 60% hingga 7% sementara cawangan masih perlu membayar kos dan upah lain.

Chin berkata salah satu gerainya dibuka pada waktu malam tetapi hasil jualan tidak meningkat disebabkan perlu mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan.

“Gerai ini dapat menampung 100 orang tetapi kerana langkah jarak sosial, hanya 50 orang dibolehkan berada di dalam kedai. Pada waktu puncak hanya ada sekitar 20 orang pada waktu makan tengahari dan kira-kira 30 orang pada waktu makan malam.

“Ramai pelanggan masih mengelak untuk makan di kedai kerana bimbang dijangkiti Covid-19,” katanya sambil menambah 70% daripada hasil jualan sekarang adalah daripada penghantaran dan 30% bawa pulang.

Jurucakap Pakatan Operator F&B Malaysia Joshua Liew berkata ketika PKPB dikuatkuasakan beberapa restoran dan kafe hanya menjual makanan melalui perkhidmatan bawa pulang.

Mereka hanya memberi kebenaran makan di kedai baru-baru ini, namun tidak ramai pelanggan yang datang.

“Perniagaan F&B pada umumnya berdepan prestasi buruk dari segi penjualan semasa PKPB berikutan tidak ramai yang berani makan di luar sekarang ini,” katanya. 

Restoran dan premis makan di pusat membeli-belah secara umumnya dalam keadaan lebih baik berbanding tempat lain, katanya.

Liew, yang juga ketua pegawai eksekutif Espresso Lab, berkata kafe bukanlah restoran dan tidak ramai pelanggan akan duduk di premis hanya untuk minum secawan kopi.

“Sejak PKPB bermula pada 4 Mei, ada waktu kami hanya berjaya menjual tiga cawan kopi selama tiga hari. Perniagaan sangat teruk.”

Ketika ditanya jika restoran mengamalkan SOP kesihatan dan keselamatan, Liew berkata beberapa restoran mengabaikannya apabila sibuk, terutama pada waktu perayaan apabila beberapa restoran kelihatan penuh sesak.

“Kafe di lot kedai lebih padat dan kami optimis perniagaan akan bertambah baik. Keadaan sepi selama dua bulan lalu, jika perniagaan kembali naik maka itu bagus, tetapi SOP kesihatan dan keselamatan perlu diteruskan.”

Menurut pengendali F&B yang lain, sepanjang tempoh perayaan, barisan pelanggan boleh dilihat di luar beberapa restoran dan garis panduan penjarakan diri nampaknya diabaikan.

Kerajaan mengenakan PKP pada 18 Mac, menutup semua perniagaan sebagai langkah untuk membendung penyebaran Covid-19.

Arahan itu dilonggarkan pada 4 Mei, membolehkan restoran menerima pelanggan tetapi dengan syarat kesihatan dan kebersihan yang ketat.
PKPB akan berakhir pada 9 Jun. – 2 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen