Mengapa Bersatu perlu bertanding PRK Chini?


SETIAUSAHA Veteran Umno, Musthapa Yakub memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) agar tidak meletakkan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini memandangkan kekuatan Barisan Nasional (BN) dan Pas lebih kuat berbanding PH. 

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan PH perlu bertanding di Chini bagi memberi mesej kepada rakyat akan komitmen PH memperjuangkan tadbir urus yang bersih dan menentang rasuah. 

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), calon BN, Allahyarham Abu Bakar mendapat 10,027 undi menewaskan calon Pas yang dan PH. Dengan 91 peratus pengundi Melayu dan berada dalam Parlimen Pekan, tentunya PH tidak mempunyai peluang untuk menang di PRK Chini.

Desas-desus menyatakan anak kepada Datuk Seri Najib Razak, Mohd Nizar Razak, bakal menjadi calon di Chini. Keputusan ini menunjukkan Umno tidak bersungguh-sungguh dalam dan mahu menang mudah di PRK Chini.

Bagi saya, bukan BN atau Pas yang perlu meletakkan calon, tetapi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) perlu mewakili PN di Chini. Mengapa PPBM perlu bertanding di PRK Chini? 

PRK Chini yang dijadualkan berlangsung pada 4 Julai merupakan medan penting PN menterjemahkan komitmen kerjasama PPBM dan Muafakat Nasional sebagai sebuah gabungan parti. 

Muhyiddin Yassin memerlukan kemenangan di Chini bagi membuktikan perjuangan PPBM mendapat sokongan akar umbi dan pengundi. Ia boleh menstrukturkan semula imej PPBM yang tercemar akibat pertembungan kem perdana menteri dan Tun Mahathir Mohamad. 

Ini juga dapat memberi mesej awal kepada rakyat bahawa PPBM mampu berdiri sendiri tanpa ‘tongkat’ daripada PH. Ia sekaligus mengesahkan dakwaan pemimpin PPBM selama ini yang menyatakan kekalahan mereka di PRK N.24 Semenyih dan P.165 Tanjung Piai disebabkan PH, khususnya DAP.

PRK Chini juga boleh menjadi kayu ukur menilai sokongan pengundi Melayu dan Islam terhadap naratif kerajaan Melayu yang dibawa Muhyiddin dan PN. 

Maka, tidak berpatutan sekiranya PPBM hanya hadir di Chini sebagai penyokong Najib Razak dan BN. 

Langkah ini juga dapat memberi gambaran jelas sejauh mana gabungan parti ini dapat bekerjasama pada PRU15 nanti, khusunya dalam kesanggupan setuap parti berunding untuk agihan kerusi parlimen atau DUN.

Jadi, siapakah calon PPBM yang cocok bertanding di PRK Chini? 

Dalam hal ini, ahli politik berpengalaman seperti Zahid Md Arip, yang merupakan konspirator ‘Langkah Sheraton’ antara calon paling cocok bertanding di PRK Chini mewakili PPBM dan PN. 

Semasa PRU14, bekas Setiausaha Politik Tun Mahathir ini bertanding di parlimen Pekan menentang Najib Razak. Tetapi, beliau tewas dan hilang deposit. 

Itu kisah lama. Jika Zahid Md Arip bertanding sebagai calon PN di Chini, tentunya kehadiran jentera Muafakat Nasional dan bantuan #bossku dapat memenangkan Zahid Md Arip di PRK Chini.

Berbekal pengalaman PRU14 dan ranjang politik, tentunya Zahid Md Arip calon sesuai menguatkan kestabilan PN. 

Zahid Md Arip juga berpeluang membuktikan hujah dan kerja kuat beliau untuk PPBM keluar daripada PH itu ‘betul’ sekiranya beliau berjaya menang di PRK Chini.  

Kehadiran PH bertanding di Chini juga begitu penting. Kehilangan Putrajaya akibat percaturan politik sepatutnya menjadikan PH lebih bersedia untuk berhadapan PRK Chini. Persoalannya, mampukah PH membuat kejutan di Chini?

Adakah PRK Chini dapat mengembalikan PH atau memecahkan lagi gabungan parti yang tersedia retak? Persoalan ini tentunya akan dijawab dalam PRK Chini. 

PRK Chini akan menjadi satu eksperimentasi kepada proses pilihan raya negara berhadapan dengan Normal Baharu. Kita harus percaya dengan ketetapan aspek keselamatan dan kesihatan yang dirangka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan pesta demokrasi rakyat secara berhemah. 

Ada juga pandangan yang menyatakan PRK Chini tidak perlu diadakan berikutan pendemik Covid-19. Cadangan ini begitu sempit kerana negara yang berhadapan risiko Covid-19 yang tinggi seperti Korea Selatan sekalipun telah mengadakan pilihan raya parlimen pada 15 April 2020 mengikut ketetapan penjagaan kesihatan yang paling selamat. 

Negara lain di seluruh dunia sedang sibuk dengan urusan parlimen dalam menjalankan peranan semak dan imbang kepada dasar kerajaan ketika Covid-19. 

Namun, sejauh manakah rakyat DUN Chini sanggup keluar mengundi dalam melunaskan hak mereka? 

Ini satu cabaran besar kerana jumlah keluar mengundi akan memberi gambaran awal akan keberlangsungan dan legitemasi sistem pilihan raya negara. 

Seacar umumnya, PN mempunyai harapan cerah untuk menang di PRK Chini bagi membina sokongan rakyat kepada mereka. Namun, meletakkan calon Umno/BN di Chini hanyalah satu langkah ‘selamat’ yang tidak mendatangkan kekuatan kepada PN, terutama sekali sokongan ke atas perdana menteri. 

Memandang mudah PRK Chini akan meletakkan kedudukan PN dalam risiko yang lebih berbahaya. 

Sekiranya PN menang tipis di PRK Chini , ia boleh menjadi mesej awal ‘undi tidak percaya’ kepada PN sebelum Parlimen bersidang pada 13 Julai 2020. – 31 Mei, 2020. 

*Fakhrurrazi Rashid adalah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen