Ketuanan Melayu, white supremacy dan sifat tabayyun


SEJAK dari kecil lagi saya diajar oleh keluarga dan masyarakat bahawa org Melayu adalah tuan kepada tanah ini. Keluarga saya adalah penyokong kuat parti nasionalis Melayu, maka hal ini adalah “makanan ruji” buat pemikiran kami. Masyarakat pula seakan-akan mengiyakan perkara ini.

Tidak dinafikan di kawasan saya tinggal, kami hidup dalam keadaan harmoni dengan berbilang bangsa dan agama. Namun seperti ada “unspoken rules” yang tidak boleh dilanggar dalam kehidupan seharian di sini juga di dalam negara ini mengenai ketuanan Melayu. Contohnya, pemilihan Pengerusi Rukun Tetangga (RT) yang acap kali dimenangi oleh orang Melayu, walaupun banyak isu negatif terjadi, tetap orang Melayu dipilih menjadi Pengerusi RT. Hal ini telah mengakibatkan segelintir dari masyarakat bangsa lain tidak mahu bergiat aktif dalam Rukun Tetangga dan hal ini mengakibatkan banyak keciciran dari segi penjagaan kebajikan penduduk.

Baru-baru ini dunia dikejutkan dengan kematian George Flyod yang dibunuh oleh seorang warga polis di Minessota, Amerika Syarikat. Floyd, seorang lelaki berkulit hitam, yang pada waktu itu ditahan kerana didakwa menggunakan wang palsu sewaktu membeli belah di sebuah pasaraya, kemudiannya diperlakukan dengan kasar oleh seorang anggota polis berkulit putih.

Beliau telah ditiarap di atas jalanraya dan bahagian leher beliau ditekan dengan lutut anggota polis tersebut sehingga menyebabkan beliau lemas dan akhirnya meninggal dunia. Kejadian ini telah dirakam oleh orang ramai yang ada pada waktu itu yang meminta anggota polis tersebut agar tidak melakukan sedemikian kepada Floyd namun tidak diendahkan. Anggota polis tersebut memberitahu bahawa Floyd cuba melawan namun satu klip kamera tertutup dari pasaraya berdekatan menunjukan tiada tindak balas dari Floyd.

Hal ini telah mengakibatkan rusuhan dan protes di Minessota dan beberapa bandar besar di Amerika Syarikat. Ia juga mendapat perhatian dunia dan menjadi topik trending di Twitter dengan kata kunci #BlackLivesMatters.

Kejadian rasisme di negara seperti Amerika Syarikat ini adalah benda yang selalu kita dengar. Kisah George Floyd bukan kisah pertama yang terjadi. Kekejaman polis terhadap mereka yang berkulit hitam sudah menjadi perkara biasa di Amerika Syarikat. Mereka yang berkulit hitam sering kali dikaitkan dengan stereotaip sebagai penjenayah.

Rasisme adalah penyakit global. Ia berlaku di mana-mana di dalam dunia, bukan di Amerika Syarikat sahaja. Perbezaan warna kulit dan agama adalah faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini. Di Amerika Syarikat, mereka yang berkulit putih merasakan mereka tuan kepada negara tersebut kerana pada zaman dahulu mereka yang berkulit hitam ini adalah hamba abdi yang dibawa masuk dari Afrika Selatan.

Mentaliti itu malangnya tidak dapat diubah sehingga ke hari ini walaupun Amerika Syarikat pernah dipimpin oleh presiden berkulit hitam pertama, Barrack Obama selama 2 penggal.

Malaysia juga pernah merasai peristiwa hitam yang tercetus dek kerana perkauman pada 13 Mei 1969 sehingga mengakibatkan darurat dan Parlimen digantung. Majlis Gerakan Negara (Mageran) telah dibentuk untuk melakukan pelbagai tindakan bagi mencari punca dan penyelesaian bagi tragedi tersebut. Antara tindakan yang dilakukan ialah memperkenalkan Rukunegara dan Dasar Ekonomi Baru untuk menghapuskan pengenalan kaum dengan satu aktiviti ekonomi dan membasmi kemiskinan tegar. Tindakan ini adalah untuk membentuk satu kerajaan yang bersifat kerajaan perpaduan.

Sewaktu kecil, saya tidak tahu apa itu rasisme sehinggalah saya mula meningkat dewasa dan matang. Idea ketuanan Melayu mula saya pertikaikan sedikit demi sedikit namun masih tidak berani menyuarakan dengan lebih vokal. Namun, abang dan adik-adik saya menolak idea ini mentah-mentah menjelang mereka masuk ke alam persekolahan kerana mereka bersekolah di sekolah tabligh yang mempunyai jumlah pelajar dari bangsa dan agama lain lebih ramai / sama banyak dengan pelajar Melayu Islam. Saya pula hanya bersekolah di sekolah menengah kebangsaan biasa, yang majoriti kami adalah Melayu Islam. Maka pada satu tahap, walaupun saya tidak bersetuju dengan istilah ketuanan Melayu, saya rasa saya harus akur kerana ini adalah yang seharusnya jadi di dalam negara ini.

Saya kemudiannya bergiat aktif dalam politik dan menyertai parti politik yang menyanjung tinggi ketuanan Melayu. Namun masa silih berganti, setelah saya melakukan tabayyun kepada semua ideologi politik dan keadaan semasa masyarakat negara, saya rasa saya sendiri tidak boleh menerima ideologi ini kerana masa juga mengubah persekitaran. Apa yang lagi membuatkan saya tidak boleh bertahan dalam parti itu sendiri ialah, apabila rakyat sudah mula menolak naratif ini, sebilangan besar ahli dan pemimpin masih berpegang teguh dengannya.

Kita mengutuk kejadian rasisme di luar negara kita, tapi kita juga tidak sedar akan penyakit masyarakat ini semakin menyubur di dalam negara kita sendiri. Sewaktu pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, isu seperti kematian anggota bomba Allahyarham Adib, pemandu mabuk dan sebagainya, acap kali dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab demi menyemarakkan api perkauman di negara kita. Kempen BMF yang pada awalnya yang bermaksud Buy Malay First adalah satu kempen rasis bagi saya dan membuta tuli. Ia juga adalah satu bentuk penganiayaan secara tidak langsung kepada pekerja Melayu yang bekerja di syarikat bukan Melayu.

Penyakit rasisme ini juga semakin subur bila ramai ahli politik kerap menggunakan isu ketuanan Melayu dan agama Islam bagi meraih sokongan. Ahli politik seharusnya menjadi jambatan perpaduan kepada rakyat namun tidak ramai yang berusaha ke arah itu. Apa keberuntungan yang boleh kita kecapi sebagai rakyat Malaysia jika rasisme ini membiak dengan jaya antara kita? Kenapa perlu kita menuding perbezaan yang ada? Kenapa kita tidak gunakan perbezaan itu sebagai satu kekuatan buat negara kita?

Oleh itu saya menyeru semua terutama generasi belia agar sentiasa tabayyun dan menolak sekeras-kerasnya idealogi yang boleh memacu kita ke arah rasisme ini. Janganlah kita hanya tabayyun atas perkara yang membawa keberuntungan kepada kita walaupun kita terpaksa khianat kepada rakan-rakan kita, iaitu bangsa dan agama lain. Kita saling memerlukan. Hidup ini adalah simbiosis. Jadikan perpaduan dan keharmonian sebagai satu matlamat dan jati diri rakyat Malaysia.

*Noor Suhana Ishak adalah anak Melayu penggemar nasi daun pisang dan dim sum

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen