Umno mahu Dr M ketuai kerajaan perpaduan tanpa DAP, Amanah, Anwar


The Malaysian Insight

UMNO mahu Dr Mahathir Mohamad meninggalkan sekutu politiknya dalam Pakatan Harapan bagi memimpin kerajaan perpaduan, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata Umno menyokong usul Dr Mahathir untuk kekal sebagai perdana menteri kerajaan perpaduan yang tidak melibatkan DAP, Amanah dan ahli Parlimen yang setia kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Katanya persetujuan itu dicapai dalam pertemuan pada 23 Februari sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan ekoran ‘Langkah Sheraton’.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gambar menunjukkan perjumpaan pemimpin parti tersebut dengan Dr Mahathir yang tular di media sosial semalam.

“Gambar yang tular di media sosial adalah perjumpaan oleh Presiden parti-parti politik untuk mencadangkan agar Tun M mewujudkan Kerajaan Perpaduan tanpa DAP, PKR (Anwar) dan Amanah. Itulah titik persamaan persetujuan bagi memulakan perbincangan.

“Namun sokongan ditarik balik apabila Tun M mencadangkan Kerajaan Perpaduan semua parti yang melanggar persetujuan awal,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata kesemua presiden parti yang hadir ke pertemuan itu membawa akuan bersumpah dan bukannya dokumen mahkamah yang membabitkan kesnya di mahkamah.

Ahmad Zahid juga mendakwa beliau hadir ke pertemuan itu dengan hasrat membawa mandat Umno.

Pertemuan itu dihadiri oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal dan pemimpin Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg.

Turut hadir bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali yang membawa keluar sembilan ahli Parlimen PKR untuk menumbangkan kerajaan Pakatan.

Seharian kemudiannya, Azmin dan Muhyiddin membawa sokongan masing-masing keluar dari Pakatan untuk membentuk gabungan dengan Umno, PAS dan beberapa parti dari Sabah dan Sarawak bagi menubuhkan Perikatan.

Selepas Dr Mahathir menolak tawaran Perikatan untuk memimpin mereka, gabungan itu memilih Muhyiddin sebagai perdana menteri. – 31 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen