3 kluster Covid-19 baharu di Pahang libatkan 15 orang asing


Ravin Palanisamy

Dr Noor Hisham Abdullah berkata ladang Bera mempunyai tujuh kes, sementara enam kes dikesan di kilang papan di Maran. Dua kes lain ditemui di syarikat pembinaan di Maran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Mei, 2020.

TIGA kluster baharu Covid-19 melibatkan 15 pendatang asing telah dikenal pasti di Pahang, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketiga-tiga kelompok itu terletak di Bera dan Maran.

“Satu kelompok melibatkan sebuah ladang di Bera, dan dua lagi ladang adalah kilang papan dan sebuah syarikat pembinaan di Maran.

“Kesemua 15 kes itu bukan warganegara,” katanya semasa taklimat media di Putrajaya hari ini.

Kluster itu dikesan susulan tindakan pejabat kesihatan di situ yang melaksanakan pensampelan secara rawak dan didapati ada yang positif. 

“Bila dikesan ada yang positif kami terus laksanakan pengesanan kes aktif, yang positif diasingkan dan yang negatif dikuarantin selama 14 hari,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Punca jangkitan bagi ketiga-tiga kluster baharu itu sedang disiasat, katanya.

Beliau berkata ladang Bera mempunyai tujuh kes, sementara enam kes dikesan di kilang papan di Maran. Dua kes lain ditemui di syarikat pembinaan di Maran.

Malaysia hari ini mencatatkan 57 kes Covid-19 baharu, 10 kes diimport dan 47 kes penularan tempatan.

Dari 47 kes penularan tempatan, Noor Hisham berkata 43 orang melibatkan warga asing.

Sebilangan besar kes penularan tempatan hari ini adalah dari Selangor (27 kes), diikuti oleh Pahang (15) dan Kuala Lumpur (1).  β€“ 31 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen