Pemuda Bersatu gesa mesyuarat agung, pemilihan segera untuk selesai kemelut


Diyana Ibrahim

Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata sayap itu tegas menolak pemecatan Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi ahli MPT yang tidak mengikut perlembagaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 31 Mei, 2020.

SAYAP pemuda Bersatu, Armada menggesa mesyuarat agung khas dan pemilihan parti dilaksanakan segera untuk menyelesaikan kemelut parti itu yang kini berpecah-belah.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Armada tegas menolak pemecatan Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang tidak mengikut perlembagaan.

“Biarkan masa depan Bersatu ini ditentukan akar umbi. Kalau betul kita tidak ada sokongan biarlah kami dihukum dari tangan ahli akar umbi sendiri.

“Dan bukan orang yang dulu dari Umno dan masuk Bersatu,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Beliau merujuk kepada setiausaha agung baharu Bersatu, Hamzah Zainuddin – antara barisan pemimpin Umno yang diterima masuk ke dalam parti itu.

Syed Saddiq berkata pemecatan Dr Mahathir dan anggota MPT tersebut juga tidak adil memandangkan mereka tidak dipanggil untuk membela diri.

Katanya, hal itu mengecewakan memandangkan Perlembagaan Bersatu ada menggariskan hak untuk mempertahankan diri.

Beliau berkata perlembagaan Bersatu tidak pernah memberi hak secara mutlak mana-mana pihak untuk memecat dan menggugurkan keahlian seseorang, kata Syed Saddiq yang juga dilucut keahlian.

“Perlembagaan ini dibuat berdasarkan pengalaman Muhyiddin selepas dia dilucutkan jawatan sebagai timbalan presiden Umno.

“Beliau tidak dipanggil ke lembaga disiplin dan meminta untuk membuat pendirian.

“Apabila kami rangka perlembagaan  klausa  yang memberi hak mutlak mana-mana pihak menggugurkan keahlianseperti dalam perlembagaan Umno tidak ada pada kami,” katanya.

Khamis lepas Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya mengeluarkan surat kepada Dr Mahathir, serta empat yang lain memaklumkan mereka bukan lagi ahli parti berkuat kuasa serta merta.

Tiga lagi yang gugur keahlian parti ialah Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Kelima-lima mereka mempertikaikan pelucutan keahlian kerana menyalahi undang-undang dan tidak mempunyai asas dalam perlembagaan parti.

Pada masa sama, Syed Saddiq juga mendedahkan Hamzah pernah menuduh Muhyiddin sebagai pemimpin yang gila kuasa menyerang Najib Razak kerana ingin menjadi perdana menteri.

Syed Saddiq berkata Hamzah membuat dakwaan tersebut ketika mahu memujuknya meninggalkan Bersatu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Saya ingat lagi sebelum pilihan raya salah seorang menteri yang jumpa dengan saya, cuba untuk tarik saya dari Bersatu tidak lain tidak bukan orang sama yang ketuai Bersatu sekarang ini untuk membuang Dr Mahathir.

“Beliau memanggil saya ke pejabat dan bila berjumpa, beliau berkata Muhyiddin gila jawatan nak jadi perdana menteri sebab itu masih menyerang Najib,” katanya. – 31 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen