Facebook dan nasi dalam pinggan peniaga kecil


Zainal Rashid Ahmad

UDA Muhamad Jailani bekerja di hotel lima bintang di Kelana Jaya, Selangor sebagai pembantu dapur selama dua tahun.

Setelah begitu banyak spekulasi mengenai masa depan hotel terkenal itu berikutan kemeruduman bisnes sejak serangan wabak Covid-19, pada pagi Jumaat lalu, Uda menerima panggilan telefon: “Khidmat anda ditamatkan.”

Ini bukan kes disiplin. Uda antara puluhan staf peringkat pertama yang ditamatkan kerja dengan notis 24 jam.

Lebih menyedihkan, pihak Unit Sumber Manusia tempat kerjanya tidak dapat memberi jaminan mengenai pampasan pemberhentian. Tanpa pampasan, ertinya gaji pada 20 Mei lalu adalah pendapatan terakhir.

Pada usia 27 tahun dengan pengalaman lima tahun bekerja sebagai pembantu dapur di dua hotel lima bintang, Uda tidak dapat menggunakan pengalamannya memohon kerja di hotel lain.

“Semua sektor hotel lumpuh dan ramai kawan di hotel lain turut menerima nasib yang sama,” katanya.

Sebagai bakal bapa pada September nanti, kehilangan pekerjaan dengan notis 24 jam sesuatu yang mengejutkan.

“Saya tahu syarikat mengalami masalah kewangan sejak Covid-19 melanda. Sejak 18 Mac lalu hanya ada empat bilik yang disewa VIP luar negara yang terkandas kerana gagal terbang pulang berikutan penutup lapangan terbang,” katanya.

Tiga bulan dengan hanya empat bilik disewa gambaran teruknya bisnes perhotelan.

Sejak itu, majikan mula bercakap mengenai pelan pengurangan pekerja.

Selain bilik hotel yang tiada sambutan, dewan seminar serta lounge juga sunyi sepi.

“Kami hanya duduk sepanjang hari kerana tiada tempahan makanan dan kafe hotel langsung tidak ada pelanggan,” kata Uda.

Realiti itu menyebabkan pekerja mulai sedar majikan mula berdepan krisis kewangan yang tenat.

“Cuma, saya fikir fasa pertama tidaklah sampai hilang kerja. Kami diberi gambaran awal akan mengalami pemotongan gaji 30%,” katanya.

Berita kehilangan kerja sesuatu yang langsung tidak di duga. Keadaan isteri yang hamil, sewa rumah dan kos hidup harian kini mula menjadi mimpi ngeri.

Menyertai koloni jualan di Facebook

Uda tiada pilihan dan memohon menyertai koloni Facebook Suara Anak Cokit (SAC) sebagai pembekal rendang yang dijual secara atas talian. Facebook SAC memberikan keutamaan promosi produk Uda kerana anak muda ini antara peniaga kecil yang memulakan perniagaan baharu.

“Saya mempromosi tempahan rendang Tok Perak dengan pakej mini RM15 untuk 150 gram dan pakej RM45 bagi tempahan 500 gram,” katanya.

Uda turut mendengar pandangan dan nasihat rakan-rakan pengasas Facebook SAC supaya mempromosikan produknya dengan harga istimewa.

Selama dua bulan, bisnesnya harus bermula dengan pakej “beri pelanggan rasa dulu”.

“Strategi harga murah membolehkan pelanggan mencuba dan yakin dengan kualiti rendang Tok Perak,” katanya.

Nasib Uda yang baru dua minggu mempromosikan rendangnya kini bergantung pada pelaburan RM1,700 bagi menyara hidup setelah kehilangan kerja.

Malah, berharap nasibnya memulakan bisnes di Facebook SAC akan mencapai kejayaan seperti rakannya, Ainul Zaki.

Siapa Ainul Zaki?

Ainul ialah pemuda berusia 28 tahun yang kehilangan premis niaga di Jalan Abdul Rahman Idris, Chow Kit.

Setelah lima tahun menyewa lot kabin sebagai premis perniagaan beg tangan wanita, Ainul gagal menjelaskan sewa selama lima bulan.

Keadaan kewangan mula terjejas teruk apabila kedainya terpaksa ditutup mulai 18 Mac hingga 4 Mei berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya keluar dari kedai sewa dan membawa barang-barang perniagaan berpindah ke Depot Gombak dan tumpang meniaga di kedai kawan,” kata Ainul.

Namun, kata Ainul, perniagaan di Gombak juga terjejas teruk. Walaupun PKP Bersyarat bermula 5 Mei dan peniaga dibenarkan membuka kedai, suasana perniagaan tidak berubah.

“Orang masih stigma dengan wabak Covid-19 dan tidak memasuki premis sempit macam tempat kami meniaga. Jadi kami tidak mendapat hasil jualan,” katanya.

Keadaan ekonomi yang tidak stabil kata Ainul, memburukkan lagi keadaan kerana pelanggan takut berbelanja.

Akhirnya, Ainul memilih menyertai Facebook SAC dan mengadakan jualan “live” Facebook. Sambutan pada minggu pertama sangat mengejutkan.

“Selama enam malam menyertai jualan langsung dalam Facebook SAC, saya berjaya meraih jualan lebih RM1,000,” katanya.

Jualan live selama enam jam dengan konsep DJ (jockey) memberikan peluang kepada pembeli untuk mengenal pasti barangan dengan lebih terperinci.

Malah, boleh melakukan tawar menawar harga secara interaktif.

“Sesi begini lebih digemari pelanggan. Apa lagi pada malam minggu, kami boleh mendapat sekitar 100 hingga 200 pelanggan yang menanti untuk membeli,” kata Ainul.

Selain Uda dan Ainul, terdapat lebih 40 peniaga menyertai koloni jualan secara berkumpulan dalam live Facebook SAC.

Bagi Uda yang kehilangan kerja dan Ainul yang kehilangan kedai sewa, menyertai koloni jualan beramai-ramai di Facebook kini satu perjuangan normal baharu.

Kebiasaan baharu bagi memastikan keluarga mendapatkan nasi dan lauk dalam pinggan makan seharian. – 31 Mei, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen