Felda perlu strategi dan model perniagaan baru


JIKA kita meneliti organisasi Felda yang asal, ianya tidak ubah seperti sebuah ‘koperasi’ yang besar. Ahli-ahli atau anggota koperasi besar ini terdiri dari peneroka-peneroka Felda. Setiap ahli koperasi mempertaruhkan modal mereka iaitu sebidang tanah yang diusahakan sendiri. Tanah-tanah itu ditanam dengan kelapa sawit ataupun getah. Hasil dari ladang ini akan dijual kepada kilang-kilang koperasi. Keuntungan dari koperasi ini akan dipulangkan kepada ahli-ahlinya dalam bentuk perumahan, prasarana, pendapatan bulanan dan pelbagai faedah lagi.

Penggerak utama koperasi ini adalah ‘political will’ yang mahu melihat koperasi dan ahli-ahlinya berjaya dan keluar dari kepompong kemiskinan. Peranan political will yang dipelopori oleh Allahyarham Tun Abd. Razak ini sangat penting didalam memulakan dan menjayakan koperasi ini terutama didalam mendahulukan pemberian sebidang tanah yang telah ditanam dengan sawit atau getah, penyediaan rumah kediaman, kos-kos pembangunan, penyediaan prasarana, pendahuluan saran hidup dan pelbagai faedah lagi kepada ahli-ahli koperasi ala Felda ini.

Tun Razak yang mempunyai political will ini, telah mengenal pasti dan memilih Pengerusi dan Pengurusan Kanan yang bertindak sebagai pelaksana dan pentadbir kepada program ala koperasi Felda ini. Tun Razak dan kerajaan pada masa itu juga sangat bertuah kerana dapat mengenal pasti tokoh-tokoh terbaik untuk menduduki jawatan Pengerusi Felda.

Sementara itu, Pengerusi Felda pula dapat mengenal pasti Pengarah Besar, Pengurusan Kanan dan kakitangan pelbagai peringkat yang sangat baik, berdidikasi dan bekerja keras tanpa mengira waktu demi menjayakan program koperasi ala Felda ini. Felda masa itu menjadi contoh koperasi terbaik didunia dan menjadi tempat rujukan.

Ahli-ahli koperasi ala Felda iaitu Peneroka-Peneroka pada ketika itu juga  penuh disiplin dan telah memainkan pernanan mereka dengan penuh dedikasi dan mengikut arahan Felda. Segala peraturan yang digariskan oleh pentadbir Felda dipatuhi tanpa banyak persoalan. Pengurus rancangan dan pegawai-pegawai dirancangan Felda sentiasa dihormati dan ditakuti ibarat murid menghormati guru disiplin mereka.

Semua hasil-hasil ladang peneroka samada sawit atau getah dihantar kepada kilang-kilang koperasi tanpa banyak karenah. Kehidupan bermasyarakat peneroka juga sangat kuat dan akrab. Semangat gotong royong sebagai sebuah keluarga besar sangat dikagumi oleh masyarakat lain. Tidak hairanlah model Felda ini menjadi contoh diperingkat dunia dan mendapat pengiktirafan dari pelbagai institusi antrabangsa.

Tetapi lama kelamaan, kegemilangan institusi Felda ini semakin pudar. Sejak kebelakangan ini, Felda dirundung dengan pelbagai masalah. Masalah yang paling besar adalah hutang Felda yang kini hampir mencecah RM11 bilion. Ini bermakna, Felda memerlukan kira-kira RM600 juta untuk membayar faedah sahaja. Angka ini belum termasuk perbelanjaan untuk membayar gaji kakitangan yang berjumlah sekitar RM250 juta dan lain-lain perbelanjaan pengurusan yang bernilai kira-kira RM550 juta.

Nampaknya, Felda memerlukan political will sekali lagi untuk mengeluarkan mereka dari kepompong hutang. Felda kini boleh dianggap sebagai pesakit yang mempunyai pelbagai penyakit kronik yang kini terkena covid-19, yang sedang dimasukkan ke dalam ventilator. Tindakan pantas perlu dibuat jika ingin menyelamatkannya. Felda memerlukan seorang tokoh politik seperti Tun Abd. Razak untuk memberikan oksigen untuk meneruskan kehidupannya.

Felda juga tidak bernasib baik kerana dalam dua tahun kebelakangan ini, mereka mendapat empat orang Pengerusi silih berganti. Pengerusi terbaru Felda adalah DS Idris Jusoh. Walaupun semua Pengerusi tersebut mempunyai ketokohan, berkalibar dan mempunyai rekod yang bersih, tetapi tidak banyak yang dapat mereka lakukan jika tempoh perkhidmatan mereka terlalu singkat. Seorang pengerusi seharusnya memegang jawatan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk lebih efektif dan dapat melaksanakan strategi yang mereka fikirkan perlu. Keadaan menjadi lebih complicated apabila Pengarah Besar Felda dan ramai Pengurusan Kanan Felda kini adalah terdiri dari orang-orang luar yang membawa Felda kearah halatuju baru yang lebih condong kepada pendekatan komersial dan korporat.

Ini sudah tentu mengujudkan conflicts kepimpinan antara pengurusan yang berlatar belakangkan komersial dan korporat dengan yang berlatar belakangkan koperasi ala Felda. Komposisi Ahli Lembaga Felda yang mempunyai pandangan dan latar belakang yang berbeza juga boleh melambatkan rawatan kepada Felda yang sedang sakit.

Disiplin dan pemikiran peneroka juga kini telah berubah. Anak-anak mereka kini telah membesar dan ramai yang mempunyai pelajaran tinggi dan berjaya dalam kerjaya masing-masing. Pegawai-pegawai Felda bukan lagi menjadi tempat rujukan oleh peneroka seperti dulu. Pakar rujuk utama dan penyelesaian masalah kini dimainkan oleh anak-anak mereka, blog NGO, FB, whattsapp group dan sebagainya.

Hasil-hasil ladang mereka juga tidak semestinya dihantar ke kilang kilang Felda (kini di bawah FGV Holdings). Akibatnya Felda tidak dapat mengutip pendahuluan perbelanjaan yang telah mereka keluarkan. Ini telah mencipta satu lagi masalah baru iaitu hutang tertunggak. Bagaimana Felda mahu keluar dari ventilator jika peneroka tidak membayar hutang tertunggak mereka.

Felda harus menukar model perniagaannya supaya boleh keluar segera dari ventilator. Model perniagaan lama Felda sudah tidak boleh diguna pakai lagi kerana scenario sekarang telah jauh berbeza. Felda juga tidak boleh mengharapkan dividen dari FGV Holdings kerana FGV Holdings juga telah positif covid-19 dan sering keluar masuk hospital.

Felda harus mengambil kira bahawa purata usia peneroka sekarang sudah mencapai 68 tahun iaitu umur yang ‘vulnerable’ dan tidak kuat seperti dulu lagi. Difahamkan DS Idris Jusoh  telah membuat brainstorming yang melibatkan pakar-pakar akademik dari universiti terkenal tanah air dan mendapatkan beberapa maklumat dari beberapa sumber luar.

Adalah diharap DS Idris tidak lupa untuk mendapatkan pandangan dari pemimpin-pemimpin lama Felda, Pengurusan lama Felda, Pengurusan lama FGV dan seumpamanya kerana mereka lebih arif dengan situasi Felda . Ramai dari kalangan mereka itu yang bersedia untuk membantu Felda ‘at no cost’ dan mempunyai idea-idea yang bernas. Semoga strategi perniagaan baru Felda dapat dibuat segera sebelum ianya terlambat. – 30 Mei 2020.

*Zakaria Arshad adalah ahli Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan Felda

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen