Tiga militan maut di Bangladesh


Seorang anggota Batalion Tindakan Rapid Elite (RAB) Bangladesh sedang berjaga. Hari ini, tiga mayat militan ditemui oleh RAB selepas tempat persembunyian militan diserbu. – Gambar AFP, 28 November, 2017.

TIGA mayat militan ditemui selepas pasukan keselamatan Bangladesh menyerbu tempat persembunyian kumpulan berkenaan pada petang Selasa, di daerah Chapai Nawabganj di barat laut negara itu, lapor agensi berita Xinhua. 

Perkara itu disahkan oleh jurucakap Batalion Tindakan Rapid Elite (RAB), Mufti Mahmud Khan.

“Tiga mayat berkenaan ditemui rentung dalam sebuah bangunan yang menjadi tempat persembunyian mereka,” katanya kepada wartawan. 

Mahmud Khan berkata, mangsa disyaki mungkin membunuh diri dalam satu siri letupan yang menggegarkan tempat persembunyian militan itu.

“Setakat ini kami difahamkan militan yang terbunuh merupakan anggota aktif kumpulan Jama’atul Mujahideen Bangladesh,” katanya.

Turut ditemui di lokasi kejadian antaranya tiga peralatan membuat bahan letupan, tujuh peledak dan dua pistol. – Bernama, 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen