Pasangan terpisah boleh rentas negeri semula bermula Jun


Mohd Farhan Darwis

Kebenaran rentas negeri bagi pasangan yang terpisah atas urusan kerja itu dibenarkan sejak 10 Mei lalu namun kemudiannya ditarik balik menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2020.

PASANGAN yang tinggal berjauhan kini dibenarkan semula untuk membuat perjalanan rentas negeri untuk bertemu semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata menteri.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran yang berkuatkuasa 1 Jun itu diputuskan dalam mesyuarat hari ini.

Bagaimanapun perjalanan rentas negeri untuk alasan lain tidak dibenarkan kecuali untuk kembali bertugas atau kes kecemasan, katanya dalam sidang media.

“Kita dulu benarkan dan hentikan sebelum musim hari raya, mesyuarat hari ini setuju larangan itu ditarik balik, suami isteri yang terpisah boleh rentas negeri untuk jumpa pasangan, keluarga, dan anak.

“Semua kelonggaran ini bermula pada 1 Jun, bagaimanapun secara keseluruhan rentas negeri tak dibenarkan atas sebab lain,” kata Ismail Sabri.

Kebenaran rentas negeri bagi pasangan yang terpisah atas urusan kerja itu dibenarkan sejak 10 Mei lalu namun kemudiannya ditarik balik menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ismail Sabri juga hari ini mengumumkan, institut latihan memandu juga dibenarkan beroperasi berkuatkuasa 1 Jun.

“Kita mendapat rayuan daripada institut memandu dan latihan, hari ini mesyuarat buat keputusan untuk benarkan institut memandu dan latihan serta proses perlesenan pemandu oleh JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) beroperasi mulai 1 Jun, 8 pagi hingga 4 petang,” katanya.

Katanya, JPJ sudahpun menetapkan prosedur operasi standard untuk pusat latihan memandu selaras dengan ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

Ia termasuk pemeriksaan suhu, nyahkuman di luar dan dalam pejabat, di dalam kenderaan setiap kali sebelum dan selepas digunakan, serta penjarakan sosial.

Penggunaan topeng muka juga diwajibkan sepanjang proses pembelajaran, katanya. – 30 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen