Dr Mahathir muncul di ibu pejabat Bersatu


Diyana Ibrahim

Dr Mahathir Mohamad tiba di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya kira-kira pukul 2.30 petang. – Gambar The Malaysian Insight, 29 Mei, 2020.

DR Mahathir Mohamad tiba di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya menjelang sidang media yang akan diadakan Setiausaha Agung Hamzah Zainuddin yang juga daripada puak lain.

Dr Mahathir tidak memberi sebarang kenyataan kepada wartawan yang menunggu dan segera masuk ke pejabat parti selepas tiba kira-kira pukul 2.30 petang.

Parti yang dipimpin oleh Presiden Muhyiddin Yassin semalam mengeluarkan surat kepada Dr Mahathir dan empat yang lain bagi memaklumkan mereka secara automatik hilang keanggotaan parti kerana duduk di blok pembangkang persekutuan semasa prosiding Dewan Rakyat pada 18 Mei.

Surat kepada Dr Mahathir; timbalan presiden parti Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah; Ketua Pemuda dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; dan Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Kelima-lima mereka mempertikaikan kehilangan keahlian dengan berkata tindakan itu menyalahi undang-undang dan tidak mempunyai asas dalam perlembagaan parti.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata Muhyiddin “jelas bermain politik semasa krisis Covid-19 dan ekonomi sekarang”.

“Kami tidak boleh dikatakan meninggalkan parti kerana kami hanya melakukan apa yang dibenarkan di bawah undang-undang dan dalam hak kami menurut perlembagaan persekutuan sebagai anggota Parlimen.

“Penyingkiran kami (daripada parti) tidak sah dan menafikan hak kami untuk membalas dan memberi penjelasan,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Dr Mahathir dan Muhyiddin terlibat dalam pergelutan kepemimpinan yang boleh memecahbelahkan parti.

Dr Mahathir, yang merupakan pengerusi pengasas parti itu, juga mempertikaikan tindakan Muhyiddin melantik Hamzah sebagai setiausaha agung untuk menggantikan Marzuki Yahya, yang merupakan sekutu bekas perdana menteri.

Turut hadir di markas parti ialah Mukriz.

Tidak jelas apakah Dr Mahathir akan mengadakan sidang media tetapi Hamzah dijadualkan menemui wartawan pada pukul 4 petang.

OCPD Petaling Jaya Nik Izanee Mohd Faisal juga dilihat muncul untuk memantau keadaan. – 29 Mei, 2020.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen