SEJUMLAH 151 pekerja kontrak pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah menjalani ujian saringaan Covid-19, kata Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).
“Sebagai usaha kita untuk terus kekalkan keselamatan lapangan terbang, kami memastikan semua pekerja asing di KLIA menjalani ujian saringan untuk jangkitan Covid-19,” kata pengendali lapangan terbang itu kepada The Malaysian Insight.
“Sejumlah 151 pekerja daripada syarikat kontraktor pembersihan telah menjalani ujian saringan. Kami masih belum menerima keputusan ujian itu daripada KKM.”
MAHB berkata demikian selepas diminta mengesahkan mesej yang tular di WhatsApp yang mendakwa 24 pekerja pembersihan warag Bangladesh di lapangan terbang berkenaan positif Covid-19.
Mesej berkenaan mendakwa 120 pekerja di bawah dua syarikat kontrak yang menjalankan kerja pembersihan di terminal utama menjalani ujian saringan di klinik swasta.
Ia turut mendakwa sebahagian daripada mereka berkongsi tempat tinggal sama di Banting, Selangor.
Pekerja asing dikehendaki menjalani ujian saringan virus berkenaan.
Semalam, Malaysia merekodkan 10 kes baharu jangkitan Covid-19 dan 86 kes pulih.
Ia merupakan angka terendah sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jumlah keseluruhan kes jangkitan setakat ni adalah 6,169 atau 80.1% manakala jumlah kematian setakat ini kekal pada 115. – 29 Mei, 2020.
Komen