Wujudkan pekerjaan baru tangani ketidakseimbangan pendapatan


KETIDAKSEIMBANGAN pendapatan akan menjadi lebih ketara disebabkan oleh gangguan dalam sektor perniagaan, yang terjejas akibat pelaksanaan perintah penutupan dan sekatan pergerakan.

Hal ini juga telah mengakibatkan ramai orang kehilangan pekerjaan dan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat terutamanya golongan yang berpendapatan rendah (B40) dan mereka yang bekerja sendiri.

Usaha untuk mengimbangi langkah-langkah penjagaan kesihatan awam dan kelangsungan ekonomi nampaknya sukar untuk dilaksanakan.

Dalam usaha membendung penyebaran virus, terdapat keperluan untuk mengurangkan aktiviti luar agar kita dapat melatih diri untuk mengamalkan penjarakan sosial.

Namun begitu, para peniaga mengalami kesukaran kerana harus mengurangkan kapasiti perniagaan mereka atau lebih teruk lagi, perniagaan mereka harus ditutup.

Bebanan yang dirasai oleh rakyat disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini telah memaksa kerajaan untuk melonggarkan sekatan ke atas kebanyakan sektor ekonomi pada awal bulan ini namun masih ramai yang merasakan keperitannya.

Umpama sudah jatuh ditimpa tangga, harga minyak mentah dunia pula jatuh di paras yang rendah.

Situasi yang sukar ini memberi pelbagai pengalaman yang berbeza kepada setiap ahli masyarakat berdasarkan status sosial mereka.

Jabatan Perangkaan Malaysia menjangkakan kadar pengangguran akan berada di antara 3.5 hingga 5.5 peratus tahun ini. Ia memberi gambaran bahawa jumlah rakyat yang tidak bekerja mungkin lebih teruk daripada sekarang. Pada bulan Mac, kadar pengangguran mencapai 3.9 peratus.

Ini bukan sahaja membimbangkan Malaysia malah negara lain kerana mereka juga mencatatkan kes pengangguran yang tinggi. Sebagai contoh, Amerika Syarikat (AS), di mana dalam tempoh enam minggu sahaja, jumlah tuntutan pengangguran telah mencapai 30 juta orang. Di Kanada, lebih daripada 7.2 juta rakyat mereka telah memohon bantuan kecemasan pengangguran.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan 1.6 bilion pekerja tidak formal bakal mengalami “kerosakan besar” dalam kehidupan mereka dan pada suku kedua tahun 2020, Covid-19 menelan belanja bersamaan 305 juta pekerjaan sepenuh masa.

Berdasarkan kajian oleh para penyelidik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), mengenai wabak-wabak sebelum ini seperti SARS, H1N1, MERS, Ebola, dan Zika, pekali Gini (Gini Coeffficient) – yang mengukur ketidakseimbangan pendapatan – meningkat secara mendadak selepas merebaknya virus-virus tersebut. 

Hasil kaji selidik mereka telah menunjukkan bahawa selepas lima tahun, kadar “Gini” bersih telah meningkat hampir 1.5 peratus.

Mereka juga mengatakan bahawa disebabkan kenaikan dalam ketidakseimbangan pendapatan dan kehilangan pekerjaan, dua faktor tersebut menghasilkan kejutan dalam sumber pendapatan seperti penurunan kuasa membeli dan prospek pekerjaan yang suram.

Memandangkan ramai sudah mengetahui bahawa pandemik Covid-19 ini satu keadaan yang tidak dijangka dan sangat berjangkit, kesannya juga telah menjejaskan ekonomi global.

Orang yang miskin tetap menjadi miskin atau bertambah miskin manakala mereka yang berpendapatan sederhana dan lebih tinggi mungkin menjadi sebahagian daripada golongan yang terdedah kepada keadaan ekonomi yang gawat ini.

Laporan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa pekali Gini negara menyusut daripada 0.401 pada tahun 2014 kepada 0.399 pada tahun 2016.

Namun, disebabkan wabak Covid-19 dan lanjutan tempoh PKP, terdapat kemungkinan bahawa pekali Gini akan meningkat kerana kali terakhir pekali ini disemak semula adalah empat tahun yang lalu.

Hal ini sangat membimbangkan kerana hutang isi rumah pada akhir tahun 2019 kekal tinggi pada kadar 82.7 peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

Jadi, bagaimana ketidakseimbangan pendapatan ini boleh ditangani sebagai usaha untuk menyelamatkan kehidupan masyarakat di Malaysia?

Pada masa ini dan sepanjang tempoh pemulihan, penciptaan peluang pekerjaan merupakan topik yang penting.

Kerajaan atau pihak swasta boleh membuat pelaburan dalam penciptaan peluang pekerjaan bagi membantu rakyat yang terjejas terutamanya pekerja tidak formal yang bekerja sendiri dan mempunyai pelindungan sosial yang lemah.

Di samping itu, pelbagai dasar perlu dicipta untuk masa hadapan dengan menyediakan peluang pekerjaan bagi graduan universiti dan lepasan sekolah. Dengan ini, produktiviti negara dan pendapatan rakyat boleh ditingkatkan dengan modal insan yang lebih tinggi.

Selaras dengan usaha ini, industri yang relevan seperti pertanian moden, penjagaan kesihatan, e-dagang, perkhidmatan penghantaran barangan perlu dipromosikan secara agresif.

Ini mungkin seiring dengan Pelan Pemulihan Ekonomi yang akan dibentangkan dalam masa terdekat, yang dikatakan akan memberi perhatian pada garis panduan kesihatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang selamat dalam norma baharu, pembinaan kapasiti, pengambilan pekerja, penciptaan peluang pekerjaan dan peningkatan perbelanjaan pengguna terutamanya melalui saluran digital.

Semoga perkara ini akan terus diberi perhatian dalam jangka masa panjang seperti dalam pelan pemulihan jangka masa sederhana di bawah Belanjawan tahun 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (pelan jangka masa panjang) yang akan dibentangkan pada bulan Januari tahun depan.

Menurut tinjauan yang dilakukan oleh sebuah syarikat penyelidikan pasaran, Green Zebras Sdn Bhd, 51 peratus responden merasakan bahawa peningkatan kemahiran dan skill diperlukan terutamanya apabila terdapat limpahan pekerjaan akibat wabak Covid-19.

Dalam mewujudkan pekerjaan baru, pendidikan yang relevan perlu disediakan dan digalakkan bagi memastikan usaha ini dapat dilunaskan. Oleh kerana peralihan pekerjaan bukanlah satu proses yang mudah, program untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja adalah penting.

Ketika kita sedang memasuki norma baharu di mana pembelajaran jarak jauh amat digalakkan, kursus dalam talian harus dijadikan sebagai pilihan. Bagi memudahkan urusan ini, pekerja harus ditanya terlebih dahulu mengenai pilihan mana yang sesuai untuk mereka.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengambil langkah yang betul dengan melaksanakan dasar yang sesuai untuk membantu masyarakat yang kehilangan pekerjaan dengan menawarkan 250 kursus dalam talian. Sehingga kini, Perkeso telah menerima lebih daripada 300 permohonan daripada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan untuk menjalani latihan semasa PKPB.

Akhir sekali, alternatif lain  yang dapat mengurangkan beban rakyat ketika krisis ini adalah dengan memperluaskan program bantuan wang tunai seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan harus disasarkan kepada golongan isi rumah yang terjejas.

Program pengangguran seperti Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang menawarkan faedah berbentuk kewangan dan bantuan pencarian pekerjaan juga boleh diperluas kepada rakyat yang bekerja sendiri kerana merekalah yang terjejas teruk akibat krisis ini. – 29 Mei, 2020.


* Nur Sofea Hasmira Azahar, penganalisis penyelidik di EMIR Research.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen