Jeneral China bunuh diri selepas disiasat kerana rasuah


Presiden China Xi Jinping melaksanakan kempen perangi rasuah dan setakat ini menyiasat 1.5 juta pegawai Parti Komunis daripada pelbagai peringkat dari atas hingga bawah sejak 2012. – Gambar AFP, 28 November, 2017.

JENERAL tentera China membunuh diri selepas pihak berkuasa membuka kertas siasatan terhadapnya berhubung kaitannya dengan dua bekas pegawai tentera kanan yang terpalit kes rasuah, lapor media tempatan hari ini.

Zhang Yang, anggota Suruhanjaya Tentera Pusat, menggantung diri di rumahnya di Beijing pada 23 November, lapor agensi berita Xinhua.

Beliau menjadi sebahagian pegawai yang turut terjejas dalam kempen anti rasuah Presiden Xi Jinping, yang menumpaskan 1.5 juta pegawai Parti Komunis daripada pelbagai peringkat dari atas hingga bawah sejak 2012.

Zhang, yang juga pengarah jabatan politik suruhanjaya itu, disiasat berhubung kaitannya dengan Guo Boxiong dan Xu Caihou, dua pegawai kanan tentera yang dipecat daripada Parti Komunis.

Guo, naib pengerusi suruhanjaya itu menjadi pegawai paling kanan dalam Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) yang disabitkan dalam tuduhan rasuah dalam tempoh setengah abad ini, ketika dia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada 2016.

Xu, yang juga naib pengerusi, meninggal dunia kerana kanser pada 2015 ketika siasatan kes rasuah terhadapnya masih berjalan. – AFP, 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen