Usaha Putrajaya bantu syarikat tidak mencukupi


Bede Hong

Ramai pekerja berdepan masa depan suram susulan ramalan berlakunya gelombang pemberhentian kerja selepas Hari Raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2020.

TIADA bukti kerajaan memberikan insentif kepada syarikat bermasalah untuk mengekalkan pekerjanya susulan wabak Covid-19, satu webinar diberitahu semalam.

Walaupun sektor swasta sering disebut sebagai penyedia utama pekerjaan, Putrajaya tidak mengambil tindakan sewajarnya menghalang kemungkinan gelombang pemberhentian kerja apabila syarikat beroperasi semula selepas cuti Hari Raya.

“Saya ingin melihat lebih banyak sokongan terhadap sektor swasta ... sekurang-kurangnya bantu sedikit, agar tidak perlu memberhentikan separuh tenaga kerja mereka,” kata Melati Nungsari, penolong profesor ekonomi di Asia School of Business.

“Mimpi ngeri saya adalah berlakunya pemecatan besar-besaran selepas Hari Raya,” katanya kepada webinar yang dihoskan oleh Research for Social Advancement (Refsa) yang bertajuk “Pasca Covid-19: Apa yang akan terjadi kepada belia Malaysia?”.

“Saya tidak akan menyebut syarikat mana, tetapi CEO platform penghantaran makanan baru-baru ini berkata 40% hingga 50% kedai makanan dan minuman akan ditutup dalam beberapa bulan akan datang. Itu angka yang mengejutkan.”

Penceramah lain termasuk bekas ketua pegawai eksekutif Talentcorp Shareen Abdul Ghani dan felo penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah, Mohd Amirul Rafiq Abu Rahim.

Webinar tersebut membincangkan isu pekerjaan yang disebabkan wabak koronavirus dan cabaran yang dihadapi belia pencari kerja dalam jangka masa terdekat.

Semua penceramah bersetuju Putrajaya boleh berbuat lebih banyak perkara untuk menyokong sektor swasta.

“Mungkin tiada perubahan struktur tetapi kita tidak dapat lari daripada mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi,” kata Amirul.

Shareen berkata, kerajaan mungkin perlu lebih banyak melabur untuk melatih tukang paip, juruelektrik dan bidang lain yang kini dilakukan oleh pekerja asing. – 28 Mei, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen