PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte berikrar akan membetulkan “ketidakadilan sejarah” dalam ucapannya kepada pejuang Muslim di Sultan Kudarat, di Mindanao ketika pentadbirannya berusaha menghidupkan semula rundingan damai yang tertangguh.
Beliau berucap pada rapat umum anjuran Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), yang menghimpunkan penduduk di selatan Mindanao yang beragama Islam dan Kristian serta daripada pelbagai puak.
Sejak 1970-an, penduduk Islam di wilayah itu melancarkan gerakan bawah tanah memperjuangkan hak autonomi atau kemerdekaan di wilayah majoriti Katolik di selatan negara itu, yang mereka anggap sebagai tanah air warisan.
Konflik itu membunuh lebih 120,000 korban dan mengehret sebahagian besar Mindanao ke jurang kemiskinan.
Duterte, yang mengaku berdarah keturunan Muslim, memberi amaran wilayah itu akan berdepan keganasan yang lebih buruk sekiranya isu tersebut tidak diselesaikan.
“Isunya ialah memelihara republik Filipina dan membetulkan ketidakadilan sejarah,” katanya.
Duterte menambah semasa Filipina di bawah pentadbiran penjajah Sepanyol dan kemudian Amerika Syarikat, kelompok majoriti Kristian telah menguasai sebahagian besar wilayah di Mindanao, menyebabkan penduduk asal Muslim dan puak-puak lain terpinggir.
Beliau juga memberi amaran keganasan boleh jadi lebih buruk sekiranya pengikut Daesh melarikan diri ke Filipina selepas kehilangan tapak di Asia Barat.
Amaran itu dibuat sebulan selepas penyokong Daesh yang menguasai Marawi dikalahkan bulan lepas, menamatkan konflik lima bulan yang membunuh lebih kurang 1,100 orang.
MILF menandatangani perjanjian damai pada 2014 yang memberikan kumpulan minoriti Muslim hak untuk pemerintahan sendiri sebahagian Mindanao. Undang-undang yang dicadangkan untuk melaksanakan perjanjian itu bagaimanapun tersangkut di Kongres.
Rapat umum semalam bertujuan untuk mendapatkan sokongan terhadap rang undang-undang itu.
Menurut Duterte, beliau akan mengusahakan undang-undang itu diluluskan, termasuk mengadakan sidang khas Kongres untuk pemimpin Muslim menjelaskan pelan mereka kepada ahli-ahli dewan. — AFP, 28 November 2017
Komen