Ambil tindakan majikan gagal sedia rumah untuk pekerja asing, kata MEF


Ravin Palanisamy

Majikan perlu menyediakan kediaman untuk pekerja asing mengikut Akta 466. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2020.

PUTRAJAYA perlu mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal menyediakan penginapan sempurna kepada pekerja mereka di bawah peruntukan undang-undang, kata Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF).

Pengarah eksekutifnya Shamsuddin Bardan memberitahu The Malaysian Insight, majikan perlu mematuhi syarat kesihatan dan tahap kehidupan manusia sebagaimana yang dperuntukkan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Akta 466).

Beliau bagaimanapun berkata, sebahagian besar masalah bukan daripada majikan yang mengambil pekerja asing yang sah, tetapi majikan yang menggaji pekerja asing tidak sah.

“Saya rasa kerajaan telah kehilangan maksudnya di sini. Bukan pekerja asing yang sah yang perlu mereka bimbangkan kerana majikan sentiasa bertanggungjawab terhadap mereka.

“Kerajaaan harus menyasarkan lebih banyak pendatang haram, yang mana mereka tiada pengawasan tidak mengikuti prosedur taraf hidup kerana mereka dibiarkan sendiri,” kata Shamsuddin.

Pada Selasa, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata majikan perlu mendidik pekerja asing mereka tentang kebersihan dan langkah pencegahan Covid-19 bagi mengelakkan ia merebak. 

Ia berikutan jangkitan virus berkenaan yang berlaku melibatkan warga asing yang ditahan di depot tahanan imigresen dan tapak pembinaan, sekali gus menyebabkan peningkatan jangkitan ke tiga angka sejak beberapa hari lalu. 

Noor Hisham berkata, pekerja asing terdedah kerana keadaan tempat tinggal mereka yang sempit serta kurangnya penjagaan kebersihan diri dan persekitaran yang menyebabkan wabak tersebar dengan mudah. 

Shamsuddin berkata, masalah keadaan hidup yang teruk dalam kalangan pendatang tanpa izin yang bekerja di sektor pembinaan adalah perkara biasa.

Namun, beliau berkata kebiasaanya pengambilan pekerja haram dilakukan oleh subkontraktor, dan bukan kontraktor utama.

Katanya, kontraktor utama harus memainkan peranan lebih besar dalam memastikan bukan hanya pekerja mereka sahaja yang sah tetapi juga pekerja yang diupah oleh subkontraktor mereka.

“Untuk bersikap adil terhadap pemain besar dalam industri pembinaan, mereka biasanya memberikan sub-kontrak projek tertentu kepada operator (subkontraktor), dan mereka ini cenderung untuk mengurangkan kos dengan mengupah pekerja asing tanpa izin.

“Majikan utama perlu menolak mereka. Kebiasaannya mereka tidak berikan perhatian, namun kini dengan wabak Covid-19, mereka perlu lebih tegas. 

“Mereka perlu pastikan tiada pekerja haram di tapak pembinaan mereka dan setiap pekerja mempunyai dokumen yang sah,” katanya.

Beri lebih masa kepada majikan

Shamsuddin juga berkata, majikan perlu mematuhi Akta 446 agar kemudahan yang disediakan kepada pekerja mengikut piawaian minimum.

Katanya, akta itu menyatakan beberapa ruang perlu diberikan kepada pekerja.

“Seperti tempat tinggal tetap, ia harus sekitar 24 meter persegi untuk lima orang, bermakna sekitar 4.8 meter persegi seorang, dan untuk tempat tinggal sementara sekitar tiga meter persegi seorang.

“Ini akan menelan belanja sangat mahal dan kerajaan perlu menegakkan undang-undang tetapi tidak serta merta kerana ia memakan kos yang tinggi. Kelaziman harus diamalkan dalam jangka masa panjang,” katanya.

Rabu lalu, Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata kerajaan memberikan tempoh selama tiga bulan kepada majikan untuk memenuhi pindaan yang dibuat terhadap Akta 466 pada 2019.

Pindaan itu, termasuklah ruang tamu minimum, kemudahan asas untuk kediaman dan pekerja serta elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu dititikberatkan oleh majikan, yang sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Jun 2020.

Kini ia dilaksanakan berkuatkuasa 31 Ogos, 2020 bag memberi ruang kepada majikan untuk bersedia. 

“Diharap penguatkuasaan Akta 446 (Pindaan) 2019, termasuk undang-undang perumahan dan standard kerja, akan menghalang penularan wabak Covid-19 mengikut syor Pertubuhan Buruh Anatarabangsa,” kata Saravanan dalam satu kenyataan. 

Setakat Selasa, tiga kluster jangkitan dengan 88 kes positif dikesan di tapak pembinaan. 

Kes itu dikesan berikutan ujian sarngan ke atas pekerja pembinaan di zon merah di Selangor dan Kuala Lumpur, sebagaimana yang diarahkan Majlis Keselamatan Negara. 

Tiga kluster terbabit adalah, kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur, tapak pembinaan Setia Alam dan kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur 2. 

Kira-kira 28,000 pekerja pembinaan turut menjalani ujian saringan Covid-19 oleh majikan mereka. – 28 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen