Udo Kier diraikan di Festival Filem Antarabangsa Macao


Pelakon Jerman, Udo Kider, ikon filem seram dunia, akan diraikan di Festival Filem Antarabangsa Macao (IFFAM) bulan depan menerusi anugerah khas kecemerlangan. – Gambar AFP, 28 November, 2017.

PELAKON Jerman, Udo Kier, ikon filem seram dunia, akan diraikan di Festival Filem Antarabangsa Macao (IFFAM) bulan depan sebagai penerima anugerah khas kecemerlangan kerana penglibatannya lebih 50 tahun dalam bidang perfileman.

Kier, 73, akan hadir ke festival itu untuk menerima anugerah tersebut, kata IFFAM.

Beliau juga akan menyertai festival tujuh hari itu, yang dianjurkan untuk tahun kedua, bagi memperkenalkan filem lakonannya Brawl in Cell Block 99.

“Dengan wataknya seperti dalam Brawl In Cell Block 99 dan Downsizing, kita sekali lagi diingatkan bagaimana unik dan cemerlangnya Udo Kier.

“Oleh itu, inilah masa yang paling sesuai untuk mengiktiraf beliau di sini, di Macao dengan anugerah pencapaian cemerlang,” kata pengarah artistik IFFAM, Mike Goodridge dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan malam tadi.

“Beliau ada banyak lagi filem yang hendak dibuat, dan kami sangat berbesar hati beliau singgah beberapa hari untuk meraikannya bersama kita.”

Dalam kerjayanya lebih 50 tahun, Kier sudah berlakon dalam lebih 300 buah filem dan bekerja dengan barisan pengarah terkenal, termasuk yang kontroversi, antaranya Rainer Werner Fassbinder, Gus Van Sant, Lars Von Trier, Werner Herzog, Alexander Payne dan Dario Argento.

Dalam sekian banyak filem itu, dalam kalangan pengamat filem, Kier dikenang kerana wataknya sebagai Dracula, Frankenstein dan Dr Jekyll sehingga dianggap antara ikon filem seram dunia.

Antara filem Holloywood blockbuster lakonannya termasuk Ace Ventura: Pet Detective, Blade dan Armageddon.

Selain Kier, IFFAM semalam mengumumkan kehadiran beberapa pengarah, pelakon dan karyawan filem antarabangsa ke festival itu.

Antaranya termasuk Sarmad Masud, pengarah filem My Pure Land, yang mewakili Britain untuk kategori filem asing terbaik di Anugerah Akademi bersama pelakon utamanya, Suhaee Abro, dan pengarah filem Thailand, Pen-ek Ratanaruang serta pelakon utama Okja, An Seo Hyun.

Filem Malaysia, Shuttle Life akan ditayangkan dalam kategori Panorama, dengan kehadiran pengarah, Tan Seng Kiat; penerbit, Ong Lay Jin dan pelakon, Jack Tan. – 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen