MAYAT seorang lelaki ditemui di dalam tali air di Jalan Permatang Binjai, Teluk Air Tawar di Butterworth hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata mayat Ahmad Shafizal Rozali, 29, ditemui oleh orang awam pada 8.47 pagi sebelum melaporkannya kepada polis.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu keluar dari rumahnya di Pangsapuri Teluk Air Tawar Indah dan dalam perjalanan ke rumah kawannya pada 7 pagi hari ini dan apabila sampai di lokasi, mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam tali air bersama motosikal yang ditunggangnya,” katanya di Butterworth hari ini.
Beliau berkata pemuda itu yang bekerja sebagai tukang kayu dipercayai meninggal dunia kerana lemas dan mayat telah dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Nursyafinaz Aziz di talian 018-2881424 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis SPU di talian 04-5741427 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Bernama, 27 Mei, 2020.
Komen