Putera Harry, Meghan Markle kahwin tahun depan


Putera Britain Putera Harry bersama tunangnya, pelakon Amerika Syarikat Meghan Markle bergambar di Taman Sunkern di Istana Kensington di barat London semalam, susulan pengumuman pertunangan mereka. – Gambar AFP, 28 November, 2017.

PUTERA Britain, Harry mengumumkan sudah melamar teman wanitanya, seorang pelakon Amerika Syarikat Meghan Markle pada satu majlis makan malam dan mengesahkan akan berkahwin tahun depan.

Putera itu mendedahkan beliau jatuh cinta dengan Markle – yang bakal membawa glamor Hollywood ke dalam kerabat diraja Britain – ketika kali pertama mereka bertemu.

Harry, 33, menggambarkan cara lamarannya sebagai sesuatu yang intim dan dalam suasana selesa, ketika makan malam ayam panggang cara Inggeris di rumahnya dalam kawasan Istana Kensington.

Dalam temu bual pertama mereka sempena pertunangan mereka, pasangan itu mendedahkan mereka bertemu janji yang diaturkan teman pada Julai tahun lalu di London. Mereka dengan cepat menjadi rapat, tetapi cuba menyembunyikan hubungan itu.

Ketika hubungan mereka berjaya dihidu media, mereka berkata masih tidak bersedia berdepan perhatian media.

“Ia tidak mudah untuk sesiapa pun. Tetapi di hujungnya dia pilih saya dan saya pilih dia,” kata Harry.

Terdahulu, Markle berkata beliau sangat gembira dan menunjukkan cincin pertunangannya, yang turut bertatahkan berlian milik Puteri Diana, ibu Harry.

Markle, wanita berdarah campuran, seorang janda dan feminis yang lantang bersuara, kelihatan seperti tidak layak untuk berada dalam kebanyakan kerabat diraja Britain, dan beliau mengakui ada sesetengah liputan media tentangnya sangat “menyakitkan hati”. – AFP, 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen