SEORANG penumpang maut selepas van kawalan keselamatan membawa wang yang dinaiki mangsa, terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di Kilometer 389.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Tanjung Malim ke Behrang tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi Bernama mengesahkan mengenai kejadian itu.
Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad memaklumkan, kemalangan itu menyebabkan aliran trafik di kedua-dua arah mengalami kesesakan sejauh dua kilometer sejak kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
“Semua laluan arah utara dan selatan terhalang kerana lori tangki itu termasuk ke laluan bertentangan. Berikutan itu, kenderaan ke utara dilencongkan ke Plaza Tol Tanjung Malim dan arah selatan diarah keluar di Tol Plaza Behrang,” katanya ketika dihubungi Bernama di Ipoh hari ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 12.33 tengah hari sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim ke lokasi.
Jurucakap itu berkata pemandu lori tangki itu dilaporkan selamat dan ketika kejadian terdapat tiga mangsa yang menaiki van terbabit dengan dua daripadanya telah berjaya dikeluarkan.
Difahamkan, muatan wang yang dibawa van keselamatan itu telah dibawa ke bilik kebal Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim dan kemalangan itu tular di media sosial. – Bernama, 27 Mei, 2020.
Komen