Lapangan terbang Bali masih ditutup


Gunung Agung kelihatan mengeluarkan api pada waktu malam, ketika dilihat dari daerah Kubu di wilayah Karangasem, Bali. – Gambar AFP, 28 November, 2017.

DEBU tebal daripada aktiviti di Gunung Agung memaksa pihak berkuasa masih menutup lapangan terbang Bali, ketika ancaman letusan gunung berapi berlaku menyebabkan pelancong terkandas dan pemindahan penduduk besar-besaran dijalankan.

Ribuan penduduk berhampiran gunung itu meninggalkan rumah masing-masing apabila paras amaran maksimum diumumkan menunjukkan gunung itu boleh meletus bila-bila masa saja.

Asap kelabu keluar dari gunung itu sejak minggu lalu, dan sejak beberapa hari lalu asapnya dan letupan kecil semakin tinggi ke udara, menyebabkan semua penerbangan dibatalkan sekurang-kurangnya hingga esok pagi.

“Lembaga penasihat debu gunung berapi menunjukkan semua laluan pesawat dipenuhi debu, ini bahaya untuk penerbangan,” kata Wisnu Darjono daripada agensi AirNav.

Kira-kira 40,000 orang meninggalkan rumah di zon bahaya tetapi seramai 100,000 lagi dijangka akan dipaksa keluar rumah.

Sehingga petang semalam, 445 penerbangan dibatalkan, menjejaskan lebih 59,000 penumpang ke Bali, destinasi terkemuka dunia untuk bercuti yang menarik kedatangan jutaan pelancong asing setiap tahun.

Lapangan terbang berhampiran pulau Lombok – yang juga destinasi pelancongan popular di timur Bali – ditutup pada Ahad ketika debu mula menuju ke arah pulau berkenaan, tetapi dibuka semula pada awal Isnin. – AFP, 28 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen