KERAJAAN negeri Kedah yang baharu perlu membuktikan ia berdepan tindakan undang-undang RM1 bilion daripada pembalak berlesen susulan konsesi mereka dibatalkan, kata Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata kerajaan negeri pimpinan PAS itu perlu buktikan yang ia akan kalah dalam tuntutan saman berkenaan, itu pun jika tuntutan itu benar-benar wujud.
“Takut disaman pembalak? Anda kata ada saman RM1 bilion. Anda sudah sedia untuk memenuhi tuntutan pembalak?
“Tunjuk bukti yang tuntutan itu wujud, dan kerajaan negeri akan kalah,” katanya di Facebook hari ini.
Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor yang berkata walaupun kerajaan negeri tidak ada rancangan meluaskan lagi aktiviti pembalakan di negeri itu, ia masih terpaksa mencari jalan untuk mengelak membayar RM1 bilion ganti rugi kepada pembalak berlesen selepas konsesi mereka di rizab hutan kekal dibatalkan.
Sanusi berkata 40 pemegang konsesi sebelum ini dibenarkan melakukan pembalakan sebelum larangan dikenakan.
Katanya, bagi mengelak bayaran itu, kerajaan negeri mahu membenarkan syarikat berkenaan menuai membalak di hutan lain sebagai ganti.
“Jika kita tidak buat begini, kerajaan negeri akan terpaksa berdepan tindakan mahkamah dan tuntutan membayar pampasan kepada syarikat pembalakan.
“Hutan gantian ini yang tidak menjejaskan alam sekitar dan tidak mendatangkan kerosakan kepada orang ramai. Pilihan ini akan dikaji dengan teliti,” katanya.
Bekas menteri besar Mukhriz Mahathir juga mempertikaikan tuntutan pampasan RM1 bilion itu.
“Dari mana RM1 bilion ini? Ketika zaman Pakatan Harapan, setakat dua minggu lalu, tidak ada tuntutan daripada pemilik konsesi pembalakan tuntut jumlah itu.
“Dalam ucapan terakhir, saya cakap yang MB baharu Kedah tidak patut buka semula konsesi balak. Sekarang kerusi MB belum panas lagi, dan kita bukan semula pembalakan?,” katanya di Facebook hari ini. – 27 Mei, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen