PRESIDEN Gerakan Dominic Lau sering kali dilihat berubah-ubah dalam menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyebabkan akar umbi bertindak mahu menyingkirkan beliau dari parti berkenaan.
Lau yang sebelum ini mengisytiharkan bekas parti Barisan Nasional sebagai kuasa ketiga dalam politik tetapi beliau dilihat cepat berubah fikiran bergantung pada keadaan.
Pengerusi Muntri Street Pulau Pinang Jason Loo Jieh Sheng antara pemimpin parti yang tidak malu menyatakan kemarahannya terhadap Lau.
Loo telah menulis kata-kata cacian terhadap Lau di laman Facebooknya selepas 15 Mei ketika Lau menyatakan dalam sidang media bahawa Gerakan menyokong penuh Muhyiddin sebagai perdana menteri dengan alasan prestasi kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.
Loo telah memuat naik kenyataan di Facebook berkenaan sejarah penubuhan Gerakan dan mengingatkan pemimpin awal parti itu sebagai orang yang berprinsip dan berintegriti.
Beliau membandingkan mereka dengan Lau yang dikatakan “telah merosakkan parti dari luar” dan memanggilnya pemimpin yang tidak memiliki ketajaman politik dan gagal menghidupkan Gerakan.
“Tukar presiden sekarang atau Gerakan akan jadi serpihan muzium selamanya,” tulis Loo pada 23 Mei.
Walaupun secara terbuka meminta Lau dipecat, Loo tidak mempunyai rancangan untuk memulakan undi tidak percaya terhadap presiden parti.
“Saya tidak memikirkan perkara seperti ini buat masa ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Gerakan merupakan komponen parti Barisan Nasional.
Parti itu keluar BN pada Jun 2018 selepas kerajaan hilang kuasa dalam pilihan raya tahun itu untuk pertama kali dalam sejarah.
Lau menjadi presiden parti selepas pilihan raya umum 2018 dan berkata Gerakan akan menghidupkan kembali dirinya untuk menjadi kuasa ketiga dalam politik.
Dalam pergolakan politik setelah “Langkah Sheraton” pada penghujung Februari tahun ini beliau menyatakan sokongan Gerakan terhadap Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri.
Selepas Pakatan Harapan digulingkan dan Dr Mahathir digantikan dengan Muhyiddin, Lau meminta orang ramai menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri. – 28 Mei, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen