Posmen gambar tular menangis didakwa di mahkamah Jumaat ini


Zaim Ibrahim

Gambar tular posmen berkenaan yang kononnya menangis kerana syarikat tempatnya bekerja tidak membayar bonus. – Gambar Facebook, 26 Mei, 2020.

SEORANG posmen yang gambarnya tular hujung Ramadan lalu, kononnya menangis kerana syarikat tidak membayar bonus, akan dihadapkan ke mahkamah di Pulau Pinang pada Jumaat ini kerana membuat laporan palsu, kata polis.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Shafee Abd Samad berkata pihaknya juga sedang menyiapkan siasatan untuk menuduh posmen itu dan dua lagi individu atas kesalahan secara bersubahat menipu untuk meraih simpati dan mendapatkan sumbangan orang ramai.

Menurut Shafee, posmen berumur 22 tahun itu pada mulanya membuat laporan polis menafikan beliau terlibat membuat kutipan derma.

“Siasatan polis bagaimanapun mendapati keterangannya tidak konsisten sehingga menimbulkan keraguan.

“Dia akan dituduh di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu pada Jumaat (29 Mei) di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Polis juga akan melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi jenayah menipu terhadap posmen itu dan dua individu lain.

“Kita akan tuduh mereka selepas siasatan lengkap,” tambah Shafee.

Ketiga-tiga mereka ditahan reman selama tiga hari dan dibebaskan dengan jaminan polis pada 24 Mei lalu.

Siasatan awal polis mendapat salah seorang suspek, seorang wanita, adalah juga pengendali laman Facebook Masakan Utara Barat, antara akaun media sosial yang menghebahkan gambar yang tular itu.

Menurut polis, siasatan awal juga mendapati helah mereka sempat mengumpulkan derma sehingga RM5,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank. Sebahagian wang itu sudah dibelanjakan, kata polis.

Gambar yang tular itu sempat memancing kemarahan umum terhadap Pos Malaysia yang didakwa mengabaikan kebajikan kakitangannya walaupun perniagaan syarikat dilihat meningkat ketika urusan jual beli dalam talian bertambah sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pos Malaysia dalam satu kenyataan pada minggu akhir Ramadan menegaskan ia komited memastikan masa depan pekerjanya dilindungi meskipun terkesan dengan penularan Covid-19.

Sementara itu, pakar kriminologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), P Sundramoorthy berharap episod ini jadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak terbuai dengan emosi sehingga mudah diambil kesempatan oleh golongan oportunis.

“Masyarakat sekarang pun mudah kasihan dengan pekerja penghantar barang kerana dianggap sebagai barisan hadapan ketika musim Covid 19,” jelas beliau. 

Sundramoorthy juga berharap mereka yang terlibat dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada orang ramai.

“Kes seperti ini perlu diberi tindakan yang serius, sebab banyak projek pendanaan orang ramai yang sebenarnya menipu tetapi tiada laporan. 

“Ada yang kata anak sakit, perlukan bantuan, tetapi kita tak tahu benar atau tidak,” tambahnya.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim pula berpendapat, suspek mungkin telah membuat perancangan beberapa kali dan yakin akan berjaya.

“Faktor umur seseorang suspek ditambah dengan pengalaman yang cetek tentunya mempengaruhi darjah keyakinan terhadap keberhasilannya melakukan sesuatu jenayah. 

“Sedang dia menyangka bahawa boleh lolos, rencana jenayahnya lebih mempunyai risiko tinggi untuk gagal tanpa disedari,” katanya.

Menurut Kamal Affandi, sentimen orang ramai membuka ruang kepada penjenayah untuk mengambil kesempatan.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan orang ramai yang memberi sumbangan kerana pada ketika itu mereka beranggapan posmen itu terdesak memerlukan bantuan.

“Kadangkala proses logik kita tolak ke tepi kerana naluri empati dan simpati kita tinggi. 

“Kita tidak mampu menyaringnya pada masa itu kerana naratif keadaan memerlukan bantuan serta merta. 

“Di sinilah terletak kelemahan kita yang akhirnya menyebabkan penjenayah bergembira mengaut hasil dari manipulasi perasaan kemanusiaan kita,” tambahnya. β€“ 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen