SPRM padam akaun Twitter


Pegawai SPRM yang dihubungi The Malaysian Insight memaklumkan mereka sedang berdepan masalah teknikal, termasuk di laman web, tetapi tidak mengulas lanjut mengenai penutupan akaun Twitter SPRM. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Mei, 2010.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memadam akaun Twitter yang menggunakan nama @SPRMMalaysia, dipercayai sejak semalam.

Tindakan itu disedari oleh pengguna Twitter yang perasan agensi anti rasuah itu memadam hantaran sebelum ini sebelum akhirnya akaun itu ditutup.

Seorang pengguna Twitter atas nama @1Obefiend bertanya apakah tindakan tersebut untuk memadam hantaran lama sebelum ia membuka semula akaun media sosial itu.

“Ada banyak tweet sebelum ini yang mendedahkan rasuah mereka yang sekarang ini dalam kerajaan,” katanya.

Seorang lagi pengguna Twitter atas nama @naimzin91 menyindir kononnya rasuah sudah dihapuskan oleh kerajaan baharu Perikatan Nasional, yang menggantikan pentadbiran Pakatan Harapan selepas percaturan politik hujung Februari lalu.

Pegawai SPRM yang dihubungi The Malaysian Insight memaklumkan mereka sedang berdepan masalah teknikal, termasuk di laman web, tetapi tidak mengulas lanjut.

Seorang lagi pengguna @shrikeworks menarik perhatian menteri Perikatan Nasional pun sebelum ini ada yang memadam akaun Twitter.

Beliau dipercayai merujuk pada Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff yang memadamkan akaun Twitternya pada pertengahan Mac selepas dikecam kerana satu kenyataannya yang dilihat meremehkan ancaman Covid-19.

Ketua Wanita PAS Kelantan itu, yang bekas ketua sayap Wanita PAS pusat penggal sebelum ini, menulis di Twitter bahawa kebarangkalian mati akibat Covid-19 hanya 1% sedangkan semua orang pasti akan mati.

Akaun Twitter SPRM dibuka pada Januari 2011 dan mengumpulkan lebih 87,000 pengikut. 

Akaun media sosial agensi anti rasuah itu di Facebook, serta akaun milik stesen radionya MACC FM, bagaimanapun masih ada.

Pimpinan kanan di SPRM bertukar dua bulan lalu selepas Perikatan Nasional mengambil alih pentadbiran kerajaan di Putrajaya pada awal Mac, menggantikan Pakatan Harapan yang menang pilihan raya umum pada Mei 2018.

Di bawah pentadbiran PH, SPRM membuka semula siasatan terhadap skandal 1Malaysia Develeopment Berhad (1MDB), dan membawa kepada beberapa siri pendakwaan di mahkamah yang sehingga sekarang masih dibicarakan.

Pada 8 Januari, dua bulan sebelum pertukaran kerajaan, SPRM mendedahkan sembilan rakaman suara perbualan telefon yang antara lain memperdengarkan suara Najib Razak dan Rosmah Mansor, serta bekas ketua SPRM Dzulkifli Ahmad dan pemimpin Umno Abdul Azeez Abdul Rahim.

Mereka kemudian disiasat atas dakwaan cuba campur tangan dalam penyiasatan kes melibatkan skandal 1MDB.

Tidak lama selepas pertukaran kerajaan, yang kini dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, ketua SPRM Latheefa Koya letak jawatan.

Sehingga ini, tidak dapat dipastikan status siasatan terhadap rakaman audio yang didedahkan itu. – 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Takkan isu macam ini jadi politik...Akaun Twitter bukan bagi saya adalah akaun sukarela bagi memberi info. Bg saya SPRMbukan mahu menyorok apa2 maklumat dan tidak tertakluk utk ada twitter..sama lah jua jika pembaca tidak mahu membaca M1, Adakah itu menjadi kesalahan?

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Bunga Sakura · Ulasan