Kluster tapak pembinaan dikesan dari keputusan ujian saringan wajib


Noel Achariam

Kluster tapak pembinaan dikenal pasti kerana pihak kontraktor telah mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu untuk melakukan saringan ke atas pekerja mereka sebelum dibenarkan beroperasi, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Mei, 2020.

KLUSTER terbaharu di tapak pembinaan di Kuala Lumpur dikesan selepas ujian saringan wajib dijalankan sebelum projek binaan dibenarkan beroperasi semula, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan Pertahanan itu berkata Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Wilayah Persekutuan telah memaklumkan mengenai penularan jangkitan Covid-19 di sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur selepas keputusan ujian saringan diperolehi.

“Kluster ini dikenal pasti kerana pihak kontraktor telah mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu untuk melakukan saringan ke atas pekerja mereka sebelum dibenarkan beroperasi.

“Setelah menjalankan saringan Covid-19 ke atas semua pekerja, 44 pekerja disahkan positif dan telah dihantar ke Hospital sungai Buloh untuk rawatan.

“Pekerja yang mempunyai kontak rapat juga telah dikuarantin,” kata Ismail Sabri pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Kementerian Kesihatan semalam mengumumkan kluster baharu dikesan di tapak pembinaan dengan 44 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata faktor utama jangkitan menular di tapak pembinaan berkemungkinan kerana pekerja tinggal di tempat yang sesak.

Sebelum ini satu kluster dikesan di tapak pembinaan di Jalan Ampang di Kuala Lumpur.

Kemudian satu lagi kluster dikesan di tapak pembinaan di Setia Alam di Shah Alam pada awal bulan ini.

Malaysia semalam mencatatkan peningkatan kes baharu Covid-19 dengan 172 kes dilaporkan.

Daripada keseluruhan kes baharu itu, 156 kes merupakan warga asing dengan 112 daripadanya dikesan di tiga depoh tahanan imigresen iaitu di Semenyih, Sepang dan Bukit Jalil.

Ismail Sabri juga berkata CIDB akan terus menjalankan pemeriksaan di tapak pembinaan bagi memastikan SOP dipatuhi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat.

“Sehingga hari ini 5,236 tapak binaan telah diperiksa, dan daripada jumlah itu 728 didapati mematuhi SOP dan 209 tidak patuh dan telah diberi amaran.

“Sebanyak tujuh tapak binaan sehingga kini telahpun diberi arahan tutup dan 4,292 tapak binaan masih belum beroperasi.

“Dan sehingga hari seramai 27,383 pekerja di tapak binaan telahpun disaring Covid-19 oleh majikan masing-masing,” katanya. – 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen