Brazil tetap akan guna hydroxychloroquine rawat Covid-19


KEMENTERIAN Kesihatan Brazil semalam berkata ia tetap dengan saranannya untuk menggunakan hydroxychloroquine bagi merawat pesakit Covid-19 walaupun Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) membuat keputusan menangguhkan ujian ke atas ubat tersebut atas faktor keselamatan.

Presiden Brazil Jair Bolsonaro, seperti juga rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, mengharapkan hydroxychloroquine dan ubat berkaitan, chloroquine, berkesan merawat Covid-19.

Bagaimanapun, banyak kajian mempersoalkan keselamatan dan keberkesanan hydroxychloroquine dan chloroquine dalam rawatan, termasuk satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet pada Jumaat lalu, yang mendapati dua ubat berkenaan meningkatkan risiko kematian.

Dapatan kajian itu menyebabkan WHO semalam menggantung ujian klinikal hydroxychloroquine di seluruh dunia sebagai rawatan Covid-19.

“Kami tetap tenang dan tidak akan berganjak dengan garis panduan yang dikeluarkan minggu lepas,” kata pegawai Kementerian Kesihatan Brazil, Mayra Pinheiro pada sidang media.

Garis panduan itu menyarankan doktor dalam sistem kesihatan awam mencadangkan penggunaan sama ada chloroquine atau hydroxychloroquine semasa peringkat awal gejala Covid-19 dikesan pada pesakit.

Garis panduan dikeluarkan tidak lama selepas Nelson Teich meletak jawatan sebagai menteri kesihatan, yang dilaporkan atas desakan Bolsonaro yang menggesa dua ubat tersebut walaupun tidak mempunyai bukti keberkesanan.

Brazil merupakan negara Amerika Latin yang paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan 375,000 kes dilaporkan. Ia negara kedua selepas AS yang mencatat bilangan kes tertinggi di dunia. Seramai 23,000 orang maut di Brazil akibat Covid-19.

Hydroxychloroquine biasa digunakan untuk merawat penyakit autoimun, manakala chloroquine secara umumnya digunakan untuk merawat malaria. – AFP, 26 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen